KEMAMAN:Seramai 130  pegawai dan anggota polis di Terengganu dikenakan tindakan tatatertib termasuk dibuang kerja kerana terlibat dalam pelbagai kesalahan termasuk jenayah dan dadah sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, berkata lima pegawai berpangkat asisten superintendan (ASP) antara lima individu yang dibuang kerja.

Katanya secara keseluruhan, sebanyak 72 kertas siasatan telah dibuka dan pihaknya tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau anggota yang melakukan kesalahan.

"Daripada 72 kertas siasatan yang dibuka, antara tindakan yang telah diambil ialah tahan kerja seramai 17 orang; gantung kerja (sembilan) dan buang kerja (lima).

"Kita tidak berkompromi dengan sesiapa yang melakukan kesalahan dan tindakan tegas akan diambil tanpa mengira pangkat kerana mereka ini adalah pengkhianat kepada pasukan," katanya.

BACA: 16 pegawai, anggota polis Kedah dibuang kerja tahun 2020

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai pencapaian Polis Kontinjen Terengganu sepanjang 2020 dan pemakaian pangkat di sini, pada Rabu.