KUDAT: Seramai 14,098 orang di Sabah telah memperoleh manfaat daripada Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) B2 yang dilaksanakan sejak 2010, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata, sehingga kini 40 siri program berkenaan telah dilaksanakan di seluruh Sabah dan ia akan terus diperluas untuk memberi manfaat kepada ramai.

"Program MyLesen ini merupakan inisiatif Kementerian Pengangkutan bagi membantu golongan B40 memiliki lesen memandu B2 (motosikal) secara percuma.

"Program MyLesen B2 menyasarkan golongan B40 terutamanya penerima bantuan zakat baitulmal (Jabatan Agama Islam Negeri) atau penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKM)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Program (MyLesen) 2024 Parlimen Kudat yang turut dihadiri Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda.

Mengulas lanjut, Loke berkata, objektif utama program in adalah untuk meningkatkan daya upaya sosioekonomi golongan B40.

"Tambahan pula, program ini juga bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran kepada masyarakat supaya lebih mengutamakan keselamatan jalan raya di samping untuk mengatasi masalah tidak memiliki Lesen Memandu Kelas B2 dalam kalangan masyarakat yang kurang berkemampuan," katanya.

Mengenai majlis berkenaan, Loke berkata, program MyLesen B2 Peringkat Parlimen Kudat telah diluluskan pada 12 Jan lepas.

"Oleh itu saya menyeru kepada seluruh masyarakat di daerah Kudat untuk merebut peluang menyertai program ini" tambahnya.

Sementara itu, seorang penerima Masal Khan Azizahmad, 24, berkata, inisiatif berkenaan sangat membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan lesen B2.

"Saya mendapat maklumat mengenai program ini daripada pusat khidmat Parlimen Kudat melalui Facebook, oleh itu saya terus mendaftar kerana tidak mahu terlepas peluang kerana program seumpama ini bukan selalu ada," katanya. - BERNAMA