Sejumlah 16 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 9,235 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 12 kes adalah penularan dalam negara dan empat lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, melibatkan bukan warganegara.

"Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 185 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Bagi penularan dalam negara, lapan kes baharu melibatkan Kluster Tawar di negeri Kedah (empat kes) dan Pulau Pinang (empat kes).

"Justeru, ia menjadikan jumlah kes dikesan positif COVID-19 bagi kluster ini sebanyak 55 kes. Sehingga 19 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, 1,910 orang telah disaring dalam kluster ini.

Pecahan saringan mengikut negeri yang terbabit adalah di Kedah (1,560 disaring), iaitu 44 kes dikesan positif COVID-19, 1,173 individu negatif dan 343 individu masih menunggu keputusan.

"Manakala, di Pulau Pinang 341 disaring di mana 11 kes dikesan positif COVID-19, 316 individu negatif dan 14 individu masih menunggu keputusan," tambahnya.

Selain itu, tiga kes baharu lagi melibatkan Kluster Sala di negeri Kedah.

"Justeru menjadikan jumlah kes positif 11 kes. Sehingga 19 Ogos 2020 jam 12 tengah hari, seramai 668 orang telah disaring dalam kluster ini.

"Di Kedah 662 disaring di mana 11 kes dikesan positif COVID-19, 494 individu negatif dan 157 individu masih menunggu keputusan, Pulau Pinang (6 disaring), enam individu negatif," ujar beliau lagi.

Pengesanan kes secara aktif (Active Case Detection) dan saringan kontak rapat bagi kedua-dua kluster masih diteruskan.

Di Johor, dilaporkan satu kes saringan sign-on kapal dan beliau tidak bergejala serta telah dimasukkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom.

Manakala, empat kes import adalah dari negara Bangladesh (tiga kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) dan Filipina (satu kes di Wilayah Persekutuan Labuan).

Hari ini juga terdapat 23 kes telah pulih COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 8,925 kes (96.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sehingga kini, tujuh kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan.

Pada masa sama, tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.35 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).