KUCHING: Sebanyak 18 kes jangkitan rabies dalam kalangan manusia dilaporkan di Sarawak sejak 1 Januari hingga pertengahan Disember tahun ini dengan 16 daripadanya menyebabkan kematian.

Pengarah Kesihatan Negeri Dr Ooi Choo Huck berkata, jumlah kes dalam tempoh itu menunjukkan peningkatan sebanyak 28.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas iaitu 14 kes dilaporkan.

“Kumulatif kes rabies dalam kalangan manusia di Sarawak yang dilaporkan semenjak wabak diisytiharkan pada Julai 2017 adalah sebanyak 73 kes dengan 66 kematian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, daripada keseluruhan jumlah kes setakat tahun ini, lima daripadanya dilaporkan di Bahagian Sibu, Bahagian Serian (empat), Bahagian Kuching (empat), Bahagian Bintulu (tiga) dan dua kes di Bahagian Samarahan.

“Kes terbaharu melibatkan seorang wanita berusia 44 tahun yang mula bergejala pada 28 November 2023 dan meninggal dunia pada 12 Disember lalu.

“Kes dipercayai berpunca daripada jangkitan rabies yang diperoleh menerusi interaksi bersama haiwan peliharaannya, sama ada menerusi cakaran atau air liur haiwan tersebut.

Susulan peningkatan kes rabies ini, Choo Huck meminta orang ramai mengambil langkah-langkah pencegahan dan selain mengunjungi klinik pasca gigitan yang telah ditubuhkan di 130 kemudahan kesihatan awam dan 29 fasiliti swasta di seluruh negeri itu, selain 11 hospital untuk mendapatkan suntikan Rabies Immunoglobulin (RIG) jika terdapat kes-kes berisiko tinggi.

Rabies merupakan penyakit sistem saraf yang disebabkan oleh jangkitan virus rabies yang terdapat pada air liur haiwan yang dijangkiti dan manusia terdedah kepada jangkitan rabies melalui gigitan atau kontak langsung dengan air liur haiwan tersebut.