KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 institusi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di China bersetuju untuk menyertai Malaysia-China Institute (MCI) serta menyediakan 2,000 kuota latihan peningkatan kemahiran kepada pelajar TVET dari Malaysia sepanjang tahun ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB), Mohammad Rizan Hassan dalam kenyataan berkata, peluang latihan yang diberikan meliputi pelbagai bidang teknologi termasuk kenderaan elektrik (EV), kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), solar, teknologi maklumat dan pemesinan.

Menurutnya, perkara itu dipersetujui semasa seminar Malaysia-China Vocational Education yang diadakan secara bersama oleh PKPB dan TANG International Education (China) di Beijing, China baru-baru ini.

Seminar itu turut menyaksikan Penasihat PKPB, Manndzri Nasib yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dilantik sebagai Ketua Koordinator MCI.

Mengulas mengenai pelantikannya, Manndzri dalam kenyataan sama berkata, komitmen yang diberikan institusi-institusi di China itu merupakan 'hadiah' sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China tahun ini yang diyakini akan kekal kukuh dengan kerjasama yang terjalin merentasi pelbagai aspek.

"Keserasian yang ada ini perlu ditingkatkan dengan kesungguhan dan komitmen kedua-dua belah pihak untuk terus menawarkan kerjasama pragmatik yang berkonsepkan perkongsian untuk manfaat bersama.

"Justeru, faktor-faktor pemangkin seperti perdagangan dan pelaburan perlu diseimbangkan dengan keberhasilan tenaga pakar dan kemenjadian modal insan berkemahiran kedua-dua buah negara dengan harapan kelestarian kerjasama yang lebih berpanjangan," kata Manndzri.

Penubuhan MCI diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada 9 Nov lepas semasa lawatan rasmi Naib Presiden China, Han Zheng ke Malaysia, sempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China. - BERNAMA