KUALA LUMPUR: Jumlah ketibaan pelancong asing ke Malaysia bagi tahun ini dijangka mencecah sekurang-kurangnya 18 juta pengunjung, melebihi sasaran awal iaitu 16.1 juta pelancong, kata Ketua Pengarah Pelancongan Malaysia, Datuk Dr Ammar Abdul Ghapar.

Beliau berkata sasaran itu ditetapkan berdasarkan pelbagai faktor, iaitu peningkatan kekerapan syarikat penerbangan, penambahan penerbangan terjadual, dan daya tarikan percutian akhir tahun, yang dijangka meningkatkan lagi bilangan pengunjung.

"Tahun ini, kami menyasarkan 16.1 juta pelancong (antarabangsa)... melihat kepada pertumbuhan positif ini, dengan mudah kita boleh katakan bahawa jika tiada apa-apa yang berlaku, kita boleh menjangkakan 18 juta pelancong tahun ini, iaitu lebih daripada apa yang kita sasarkan... kita harap ia akan menjadi kenyataan dan kami sangat optimis mengenainya," beliau berucap semasa merasmikan Road Show Lembaga Pelancongan Jordan dan Makan Malam Perniagaan di sini Isnin.

Turut hadir, Kuasa Usaha Kedutaan Jordan ke Malaysia, Bilal Al Nsour, dan pelbagai pengendali pelancongan dari Jordan dan Malaysia.

Ammar berkata Malaysia merekodkan 4.5 juta ketibaan pelancong pada suku pertama tahun ini, manakala pengumuman mengenai insentif untuk pengendali penerbangan berjadual di negara ini akan diumumkan tidak lama lagi bagi meningkatkan sektor pelancongan .

Beliau berkata langkah ini perlu kerana Malaysia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada penerbangan berjadual untuk meningkatkan pelancongan.

Sementara itu, Bilal berkata pelancongan memainkan peranan penting dalam ekonomi moden hari ini, dan selama beberapa dekad, Jordan telah banyak melabur dalam pelancongan, seperti ketika negara itu melancarkan Wawasan Pemodenan Ekonomi 2030 dengan sektor pelancongan memainkan peranan penting.

Beliau berkata Jordan dan Malaysia, menikmati kemajuan yang stabil dalam hubungan diplomatik sejak 1965, dan kedua-dua negara akan menyambut ulangtahun ke-60 hubungan diplomatik dalam masa dua tahun.

-- BERNAMA