KUALA LUMPUR: Buat julung kalinya, seramai 18 Pegawai Kadet (PK) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang terdiri daripada dua cabang perkhidmatan iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya menamatkan Program Latihan 2U2I Juruterbang.

ATM dalam kenyataan pada Sabtu memaklumkan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kadet ATM Program 2U2I Juruterbang telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affend Buang di Dewan Tun Templer Kem Perdana Sungai Besi, di sini, semalam.

Turut hadir Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain, Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob dan Panglima Tentera Udara Jen Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Menurut kenyataan itu, Majlis Pemakaian Sayap Penerbangan sebelum ini telah dilaksanakan oleh Panglima Tentera Udara di Kolej Tentera Udara (KTU) pada 17 Disember tahun lepas.

"Pecahan Pegawai Muda (2U2I) Juruterbang ATM pada tahun ini bagi perkhidmatan TDM ialah tiga lelaki manakala bagi TUDM ialah seramai 14 lelaki dan seorang wanita," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, program latihan berkenaan telah dilaksanakan mulai 13 Jul 2018 hingga 7 Feb 2021 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi program 2U dengan lulus Kepujian Kelas Kedua (Tinggi), Ijazah Sarjana Muda Penerbangan (ZK61).

"Seterusnya mulai 8 Februari 2021 hingga 17 Disember 2022, mereka meneruskan latihan di Institut Penerbangan 1 dan Institut Penerbangan 2 (INSPEN 1 dan INSPEN 2) bagi program 2I.

Bagi Pegawai Kadet yang lulus Kursus Asas Penerbangan (BFC) Siri 83/21 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter (BHFC) Siri 63/21, mereka seterusnya layak ditauliahkan sebagai Pegawai Muda ATM dengan pangkat Leftenan Muda," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan majlis berkenaan merupakan satu pengiktirafan yang amat bermakna kepada ATM kerana berjaya melahirkan juruterbang muda melalui program Latihan 2U2I yang menggunakan kepakaran di peringkat TUDM.

-- BERNAMA