SIBU: Sebanyak 19 projek bekalan air berimpak tinggi melibatkan kos keseluruhan kira-kira RM394.4 juta telah, sedang dan akan dilaksanakan di Bahagian Sibu dalam usaha kerajaan menambah baik infrastruktur serta sistem bekalan air untuk rakyat.

Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata daripada jumlah itu, sebanyak 15 projek dibiayai kerajaan negeri iaitu 14 projek rakyat dan satu projek di bawah Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS), manakala baki empat projek dibiayai Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

Katanya, 13 projek telah pun siap dan tiga projek lagi dalam pelaksanaan, manakala tiga projek KPLB yang sedang dalam perancangan akan mula dilaksanakan akhir tahun ini dan awal tahun depan.

"Apabila kesemua 19 projek ini siap nanti, kualiti bekalan air di Bahagian Sibu, Bahagian Sarikei serta kawasan berdekatan akan menjadi lebih baik," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi taklimat perkembangan program perkhidmatan bekalan air di Bahagian Sibu dan kawasan tengah Sarawak di pejabat Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sibu, hari ini.

Beliau berkata sebelum ini Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM4 bilion bagi mengatasi masalah serta meningkatkan kualiti bekalan air di negeri ini dari 2018 hingga tahun depan.

Katanya antara langkah itu ialah mengganti paip-paip lama yang kebanyakannya pecah apabila tekanan air tinggi terutama di kawasan bandar dan membina tangki air aras tinggi bagi menjamin bekalan air ke kawasan yang jauh, mencukupi dan berterusan.

Selain itu katanya turut dibina ialah tangki air atas tanah dan stesen pam penggalak air.

-- BERNAMA