Goldman Sachs telah bersetuju untuk membayar AS$3.9 bilion (RM16.63 bilion) bagi jumlah penyelesaian caj dan tuntutan tertunggak, berkaitan dengan urus niaga yang disusun dan diatur oleh syarikat itu untuk 1MDB.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) berkata, dengan penyelesaian terbaharu itu, lebih dari AS$4.5 bilion (RM19.2 bilion) akan dikembalikan kepada rakyat Malaysia.

“Penyelesaian ini merangkumi pembayaran tunai AS$2.5 bilion dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion dari segi aset yang berkait dengan hasil yang telah diseleweng melalui tiga urus niaga bon tersebut.

“Goldman Sachs, atas biayanya sendiri, juga akan membantu Kerajaan Malaysia dalam melantik pakar pemulihan aset untuk mendapatkan kembali aset-aset lain yang kini berada di luar Malaysia,” menurut Kementerian lagi.

Dengan jumlah penyelesaian itu, MOF berkata, ia merupakan satu peningkatan yang ketara jika
dibandingkan dengan tawaran sebelumnya, iaitu AS$1.75 bilion yang dibuat oleh Goldman Sachs kepada pentadbiran Kerajaan pada tahun 2019.

BACA: Rendah sangat, kerajaan tidak setuju Goldman Sachs bayar AS$2 bilion - Tun Mahathir

BACA: Goldman Sachs mengaku tidak bersalah tuduhan terbitan bon 1MDB RM27.2 bilion

BACA: Kerajaan komited dapatkan semula aset 1MDB - Tengku Zafrul

Sementara itu, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Tengku Abdul Aziz dalam kenyataan itu berkata, penyelesaian itu mewakili aset yang merupakan hak rakyat Malaysia.

“Kami yakin persetujuan ini telah berjaya mencapai jumlah pengembalian aset yang jauh lebih banyak daripada Goldman Sachs berbanding nilai yang ditawarkan terdahulu yang jauh di bawah jangkaan.

"Kami juga bersyukur dapat menyelesaikan hal ini di luar sistem pengadilan, yang akan menelan banyak waktu dan sumber kewangan. Dengan penyelesaian ini, kita dapat mempercepatkan pengembalian aset, tanpa melalui proses pengadilan yang tentunya mahal dan rumit,” katanya lagi.

Dalam pada itu, MOF berkata, penyelesaian oleh Goldman Sachs itu juga merupakan satu pengakuan salah laku oleh dua bekas pegawainya di dalam skim penipuan dan rasuah 1MDB.

“Penyelesaian ini juga tidak akan menjejaskan tuntutan Malaysia terhadap Jho Low dan individu lain yang berkaitan dengan skandal penyelewengan 1MDB.

"Kementerian Kewangan ingin mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan anggota pasukan perundingan atas usaha mereka selama seminggu dalam menyelesaikan penyelesaian ini,” kata Kementerian lagi.