Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu arahan lanjut daripada Jabatan Peguam Negara dalam siasatan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, fasa pertama siasatan juga sudah selesai dan arahan selanjutnya dijangka dalam tempoh terdekat.

Katanya, ia selepas proses mendapatkan keterangan daripada saksi dalam negara yang melibatkan lebih 25 orang individu selesai.

"Fasa pertama kita sudah selesai, kita sekarang sedang membincangkan dengan Jabatan Peguam Negara, sekarang belum selesai bincang lagi.

"Kita akan dapatkan arahan lanjut daripada Peguam Negara. Kita bincang untuk mendapatkan arahan lanjut. Saya jangka dalam satu atau dua minggu kerana kertas itu tebal, banyak benda yang hendak disemak," katanya semasa sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Polis Diraja Malaysia di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Khalid menegaskan pihaknya komited dalam menjalankan siasatan dengan memfokuskan lima syor daripada PAC.

Sebelum ini PDRM telah menubuhkan pasukan penyiasat 1MDB bagi meneliti laporan PAC.

Khalid sebelum ini berkata syarikat pelaburan strategik kerajaan itu akan disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan sekiranya terdapat unsur pecah amanah dan tipu.

Dalam perkembangan berasingan, Khalid menyifatkan tidak perlu mengulas isu berkaitan laporan Pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendakwa wujud konflik kepentingan melibatkan sebuah akademi menembak milik abangnya.

"Saya tidak mahu komen, dia sudah lapor biarlah SPRM siasat. Jadi saya rasa tidak perlu jawab kepada seorang penjenayah yang sudah dituduh di mahkamah," katanya.

Syarikat tersebut dakwa Sanjeevan, dimiliki oleh abang kepada Khalid, iaitu Datuk Abdullah Abu Bakar serta tiga pengarah lain.

Dakwa Sanjeevan, syarikat tersebut didaftarkan pada 1 November 2013 iaitu enam bulan selepas Tan Sri Khalid memegang jawatan Ketua Polis Negara.