Tiada keperluan untuk memanggil bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz bagi memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung prosiding 1MDB kata Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin.

Menurutnya, ini kerana segala isu ketika Mohd Hazem menjadi CEO 1MDB sudah dijawab Pengerusi 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin ketika prosiding pada 19 dan 20 Januari lalu.

“Saya berpandangan sebagai Pengerusi 1MDB, beliau bertanggungjawab untuk mengetahui secara mendalam operasi syarikat. Sehubungan itu, semua maklumat dan jawapan yang diberikan Pengerusi 1MDB sudah mencukupi untuk PAC membuat rumusan berhubung dengan urus tadbir 1MDB.

“Selain itu, apabila Ketua Audit Negara telah membentangkan laporan akhirnya kepada PAC, mana‐mana perkara dan maklumat yang perlu jawatankuasa ini dapati, bolehlah PAC mengarahkan Jabatan Audit Negara untuk menyusuni dan mendapatkan fakta tersebut sebagai tambahan lagi,” kata Hasan dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA: Prosiding PAC-1MDB diteruskan, Lodin dipanggil beri keterangan

BACA: Pembentangan laporan akhir Ketua Audit Negara mengenai 1MDB ditangguh - Pengerusi PAC

Berkenaan isu 1MDB di bawah Bank Negara pula, Hasan berkata perkara tersebut sudah dijelaskan oleh 1MDB secara terbuka dalam media massa dan ianya sudah mendapat ulasan daripada Peguam Negara serta sudah dilaporkan media massa juga secara terbuka dan meluas.

Beliau menjawab kenyataan ahli PAC, YB Tony Pua sebelum ini yang berpendapat ada keperluan untuk memanggil Mohd Hazem dan Zeti bagi memberi keterangan kepada PAC berhubung prosiding 1MDB.

Hasan bagaimanapun berkata anggota PAC, Tony Pua boleh membangkitkan hal ini dalam prosiding PAC yang akan datang dan terpulang kepada ahli‐ahli PAC jika bersetuju untuk memanggil lebih ramai lagi saksi.

“Ia terpulang kepada jawatankuasa ini tetapi yang pasti, ia boleh melambatkan proses rumusan sekaligus menyebabkan hasrat saya dan PAC untuk membentangkan Laporan PAC berhubung Pengurusan Kawalan Urus Tadbir 1MDB dalam sesi Parlimen akan datang tidak akan tercapai.

PAC bercadang untuk membentangkan laporan berhubung 1MDB ke Parlimen dalam sesi Dewan Rakyat yang akan bermula Mac ini hingga April ini.

Dalam kenyataan yang sama, Hasan memaklumkan bahawa prosiding membabitkan Tan Sri Bakke Salleh dan Datuk Shahrol pada 11 dan 12 Februari ini adalah yang terakhir di bawah tajuk Pengurusan Kawalan Urus Tadbir Syarikat 1MDB.

“Memandangkan prosiding membabitkan syarikat 1MDB ini, sudah berlarutan lama sejak Mei 2015 dan mengikut kefahaman serta perkiraan saya, maklumat yang diterima daripada sembilan prosiding sebelum ini, sudah mencukupi untuk PAC membuat rumusan yang objektif, telus dan adil,” katanya.

Ketua Audit Negara akan membentangkan Laporan Akhir Pengauditan Terhadap 1MDB pada 24 serta 25 Februari ini.

BACA: Pengauditan 1MDB: 'Laporan The Malay Mail Online tidak berasas' - PAC

BACA: Laporan 1MDB mungkin tidak dibentang pada Mac - Pengerusi PAC