KUALA LUMPUR: Sebanyak 20,880 operasi penguatkuatkuasaan telah dilakukan sejak 1 Januari 2022 hingga 27 Februari 2024 dalam usaha membasmi kebanjiran pendatang asing di negara ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan hasil serbuan itu, seramai 58,508 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 871 majikan telah ditangkap.

"Bukan saja kita tangkap PATI, majikan pun kita tangkap kerana melindungi, menggajikan dan segala macam mengikut kesalahan di bawah Akta Imigresen," katanya dalam Dewan Rakyat pada Khamis.

Jelas beliau, lima negeri dengan jumlah pendatang asing tanpa izin dicatatkan paling tinggi setakat ini adalah di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, diikuti Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, di Klang, Selangor, sebanyak lapan lokasi panas dikesan menempatkan ramai pendatang asing, antaranya Pasar Borong Klang, Pasar Besar Klang, GM Klang, Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Sulaiman, Kawasan Industri Pulau Indah, dan Bandar Bukit Tinggi.

"Apa kita buat, pemantauan dan naziran yang kita buat secara rutin, untuk rekod kita telah lakukan 36 serbuan di Klang bagi tahun ini sahaja.

"Hari ini, 29 Februari, dalam tempoh 60 hari, 36 lakukan di Klang dan tangkap 2,054 pati dan lapan majikan," katanya.