Seramai 28 warga China disyaki anggota kumpulan East Turkestan Islamic Movement (ETIM) yang diasaskan militan Uyghur di barat China dan ditahan di Malaysia sehingga Disember 2016, telah dihantar kembali ke China untuk tindakan undang-undang negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata mereka adalah antara 260 individu, termasuk warga Malaysia, yang ditahan atas pelbagai kesalahan berkaitan pembabitan dan sokongan kepada kumpulan yang terbabit dalam aktiviti keganasan.

Beliau berkata antara Akta yang diguna pakai bagi menahan mereka adalah Akta Langkah-Langkah Khas Menentang Keganasan di Negara Asing 2015 (SMATA).

Menurutnya banyak perbincangan diadakan dalam lawatan kerjanya di China sejak 10 Jan lepas yang berkaitan soal keselamatan serta keganasan dan China juga tidak terlepas menghadapi masalah keselamatan dalaman yang termasuk ancaman kumpulan dilatih untuk menyertai Daesh di luar negara.

"Ada juga rakyat China di Turki, Syria dan Iraq. Mereka datang ke Malaysia melalui beberapa negara sebelum itu dan berlepas ke Syria dan Iraq menerusi Istanbul atau Ankara menggunakan dokumen antarabangsa dari sebuah negara lain," katanya dalam sidang media di sini Khamis.

"China berterima kasih dengan kecekapan PDRM yang dapat menjejaki individu dan kumpulan itu, yang jadi pengganas dan mengabui mata beberapa negara sebelum sampai ke Malaysia," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ada juga individu dan kumpulan dari China yang ditahan di Malaysia hasil maklumat risikan disalurkan oleh pihak China.

Ia turut menyertakan data-data biometrik, bagi membolehkan PDRM menahan mereka sebelum sempat mereka berlepas ke negara seterusnya.

Sementara itu, semasa dirujuk mengenai kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini kononnya pelabur dari China merampas peluang pelaburan dari kalangan pelabur tempatan, Ahmad Zahid berkata Malaysia perlu membuka minda dan hati dengan menjemput kehadiran pelabur luar.

"Biarpun kita berbeza pendapat soal intepretasi dan sebagainya, tapi demi kepentingan negara, kita harus melihat bahawa peluang pelabur luar untuk capai pertumbuhan ekonomi lebih pesat, ia turut bergantung kepada 'FDI volume' dalam negara," katanya.

"Pelabur domestik perlu diberi keutamaan, tapi dari segi kapasiti mereka mungkin terhad, terutama dalam menyuntik modal untuk teknologi baharu," tambahnya.

Beliau berkata pelaburan yang dibawa masuk bukan hanya berkaitan pembiayaan modal semata-mata, tapi juga merujuk kepada suntikan dan pemindahan pengetahuan dan teknologi baharu ke dalam negara.

Timbalan perdana menteri dijadual berlepas ke Kunming di wilayah Yunan esok untuk meneruskan lawatan kerjanya di China.

-- BERNAMA