KUALA LUMPUR: Kerajaan telah membeli sebanyak 3.5 juta dos vaksin jenis CanSino daripada pembekal CanSino Biologics, China, dan dijangka diterima secara berperingkat sehingga hujung tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak tiga juta adalah dalam bentuk 'fill and finish', sementara 500,000 lagi adalah produk siap guna.

"Jadi kita telah menerima 200,000 dos dan telah dihantar ke Sabah dan beberapa negeri yang mana kita perlu capai imuniti kelompok atau 50 peratus sehingga September ini.

"Pada September ini, (Malaysia) akan terima lagi 300,000 dos daripada CanSino dan seterusnya sehingga hujung tahun, tiga juta dos akan dapat," katanya dalam sidang media selepas membuat lawatan di Solution Biologics Sdn Bhd (SolBio), di sini pada Isnin.

Ia merupakan lawatan sulung Dr Adham selepas dilantik sebagai Menteri MOSTI.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata vaksin CanSino dan Sinovac akan digunakan untuk meningkatkan vaksinasi di enam negeri yang belum mencapai vaksinasi 50 peratus populasi orang dewasa.

Selain perolehan tiga juta dos vaksin CanSino, jelas beliau, tambahan enam juta lagi dos vaksin Sinovac dijangka cukup untuk mencapai imuniti kelompok.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan supaya kadar vaksinasi di enam negeri ditingkatkan melebihi 50 peratus menjelang hujung bulan depan.

Negeri berkenaan iaitu Terengganu, Perak, Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah masih mencatatkan kadar pemberian vaksin di bawah 50 peratus setakat ini.