KOTA KINABALU: Tiga sekeluarga maut manakala seorang lagi anggota keluarga itu cedera parah setelah kenderaan yang dipandu bapa mereka terbabas dan melanggar tiang jejambat.

Jimmykal Assam, 44, pemandu kenderaan Nissan Navara dikatakan terbabas sendiri sebelum merempuh tiang jejambat di Jalan Lintas, Luyang.

Kejadian yang berlaku pada jam 11.41 malam semalam itu menyebabkan dia dan dua anak lelaki dan perempuan belasan tahun maut di tempat kejadian.

Seorang lagi anggota keluarga tersebut, kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun dilaporkan parah dan dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth untuk mendapatkan rawatan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah di dalam kenyataan media berkata, siasatan awal mendapati kenderaan pacuan 4 roda tersebut terbabas sendiri sebelum merempuh tiang jejambat.

"Tiga mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala kanak-kanak lelaki berusia lingkungan lima tahun parah telah dibawa ambulans ke Hospital Queen Elizabeth untuk rawatan lanjut.

"Siasatan masih diteruskan dan keterangan termasuk butiran dua mangsa akan dikemaskini," katanya di dalam kenyataan media itu.

Menurut beliau, pihak polis dan bomba yang tiba di lokasi sejurus kejadian berusaha mengeluarkan mayat yang tersepit di dalam kenderaan itu.

Turut serta di dalam operasi menyelamat, pasukan bomba daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.