KOTA TINGGI: Seramai 300 penduduk daripada 69 keluarga di daerah ini ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka akibat banjir yang berlaku tengah hari tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata kesemua mangsa merupakan penduduk di dua kawasan iaitu Kampung Temenin Baru dan Kampung Desa Makmur.

"PPS Sekolah Kebangsaan Bukit Lintang itu mula dibuka pada 12.30 tengah hari tadi berikutan hujan lebat berterusan sejak 8 pagi tadi," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata setakat ini, paras air di lima sungai utama di daerah ini masih berada pada tahap normal.

-- BERNAMA