ALOR SETAR:Sebanyak 34,200 akaun Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Sik dan Kuala Muda mengalami gangguan, berikutan penghentian sementara operasi tiga loji rawatan air (LRA) yang menyalurkan bekalan air di dua daerah itu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SADA Mohd Suhaimi Mohd Jusoh berkata, gangguan yang bermula pada 6 petang itu melibatkan LRA Jeniang Baru, Jeniang Lama dan Sungai Pau.

"Tumpahan minyak telah dikesan yang menyebabkan berlaku masalah pada kualiti air mentah, dan langkah telah diambil dengan menutup ketiga-tiga LRA berkenaan.

"Bagaimanapun, kesan tumpahan minyak berkenaan telah berhenti dan proses membersihkan muka sauk ketiga-tiga LRA itu sedang dijalankan oleh petugas loji," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata antara kawasan yang terjejas termasuk Kampung Begia, Taman Sejahtera, Kampung Changchai, puluhan kampung lain serta seluruh Pekan Sik dan Gurun.

"Setakat ini keadaan LRA lain yang terletak di kawasan hiliran seperti LRA Teloi Kanan, Bukit Selambau, Kuala Ketil, Taman Teknologi Tinggi Kulim dan Sungai Petani, masih dalam keadaan terkawal.

"SADA sedang menunggu maklum balas terkini dari Lembaga Sumber Air Negeri Kedah dan kerja pembersihan takungan pelincir muka sauk dijangka akan selesai awal pagi esok," katanya.

-- BERNAMA