KUALA LUMPUR: Seramai 369 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) dan Pemulihan (PKPP) di seluruh negara, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Daripada jumlah itu, seramai 330 individu dikenakan kompaun, 37 direman dan dua lagi dijamin.

Berikut adalah antara tumpuan kenyataan media beliau hari ini:

1. Kesalahan ingkar SOP direkodkan ialah aktiviti pusat hiburan (155), gagal menyediakan peralatan merekod diri dan pelanggan (77), tidak memakai pelitup muka (39), tiada penjarakan fizikal (34), rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran (29) dan premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (20).

2. Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Perak dan Kuarters Kakitangannya di Perak, ditamatkan esok mengikut jadual.

3. Melalui Op Benteng, pihak berkuasa menahan 35 orang pendatang tanpa izin (PATI), manakala lima buah kenderaan darat dirampas.

4. Seramai 4,496 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 dan daripada jumlah itu, 39 orang didapati positif.

5. Secara kumulatifnya, seramai 608,093 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19.