BERA: Lebih 40 jutawan berjaya dihasilkan GiatMARA dalam bidang keusahawanan berkaitan kemahiran sejak penubuhannya pada 1986.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penubuhan GiatMARA membuka peluang kepada anak muda mendalami bidang kemahiran seterusnya mendapat pekerjaan berikutan kadar kebolehpasaran pelatih yang sangat tinggi.

"Lebih 400,000 pelatih telah mengikuti latihan kemahiran di GiatMARA, dan sebanyak 80 peratus daripada mereka telah mendapat pekerjaan dan terlibat dalam bidang perniagaan.

"Saya difahamkan, kursus-kursus yang dibuat begitu banyak sejak mula ditubuhkan... tak silap (anggaran) saya ada 40 jutawan yang dihasil, dilahirkan oleh GiatMARA ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada program Moh Ngeteh & Walkabout Kampungku 1 MAHIR yang diadakan di Dewan Orang Ramai Kampung Kuala Triang, hari ini.

Seramai 1,000 penduduk di sekitar perkampungan Kuala Triang, Seberang Guai dan Imam Sulong menyertai program itu.

Ismail Sabri berkata, sejak GiatMARA ditubuhkan 36 tahun lalu, ramai orang muda berpeluang mempelajari kursus kemahiran seperti membaik pulih rumah, pendawaian elektrik, membaiki motosikal dan banyak lagi

"Saya harap, GiatMARA akan memperbanyakkan lagi program seperti ini di kawasan kampung itu untuk mendekati komuniti setempat.

"Secara tidak langsung, dapat memberi maklumat berkaitan kursus disediakan GiatMARA, terutamanya kepada golongan muda," ujarnya.