40 peratus hasil Sabah: Tiada rayuan, kerajaan buat keputusan tepat - Nazri

Nazri menegaskan keputusan yang dibuat itu amat tepat kerana kerajaan yang ada ini dipilih oleh rakyat dan untuk rakyat. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menyokong penuh keputusan kerajaan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah.
Mohamed Nazri berkata keputusan yang dibuat amat tepat dan sewajarnya dipuji.
Beliau menegaskan keputusan yang dibuat itu amat tepat kerana kerajaan yang ada ini dipilih oleh rakyat dan untuk rakyat.
“Bila mahkamah sudah membuat keputusan yang memihak kepada rakyat dalam pertikaian antara kerajaan dan rakyat, logiknya kerajaan tidak sepatutnya membuat rayuan.
“Kita kena ingat, ini kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan ditubuhkan untuk rakyat, maka atas alasan apa untuk kita membuat rayuan bila mahkamah berpihak kepada rakyat.
“Pada saya keputusan jemaah menteri dalam hal ini sangat tepat dan sewajarnya dipuji,” katanya.
Mohamed Nazri juga menjelaskan, berdasarkan video penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada seorang pemuda di Sabah yang tular baru-baru ini, tidak ada sebab untuk tidak memberi 40 peratus seperti yang dikehendaki oleh rakyat Sabah.
“Kalau dalam video tersebut PMX (Anwar) menjelaskan kerajaan sudah memberikan lebih kepada Sabah, jadi apa masalahnya untuk beri 40 peratus seperti yang rakyat Sabah mahukan,” katanya lagi.
Beliau juga menjelaskan pemberian 40 peratus itu sangat wajar kerana Sabah merupakan sebahagian dari Malaysia.
“Lain lah kalau kerajaan buat keputusan beri 40 peratus kepada Sabah yang merupakan sebuah negara lain.
“Sebagai orang Semenanjung, yang juga orang Malaysia, saya tidak merasa rugi atas apa sahaja yang kerajaan pusat beri kepada Sabah.
“Kita sama, satu negara, kenapa perlu kita merasa rugi kerana ia tetap pergi kepada orang Malaysia,” katanya.
Kerajaan Persekutuan hari ini memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil yang diperoleh dari Sabah.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataan berkata susulan keputusan dibuat petang tadi, Kerajaan Persekutuan akan segera memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Sabah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


