KUALA LUMPUR:Seramai 44 individu telah ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung isu penyalahgunaan pengesahan cap di sempadan utama negara.

Di Putrajaya, perintah reman terhadap 23 individu dikeluarkan oleh Majistret Siti Roslizawati Mohd. Zanin di Mahkamah Majistret Putrajaya selepas pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan tersebut pagi tadi.

Antara 23 individu tersebut, 12 individu direman selama 7 hari, 9 individu direman selama lima hari dan dua lagi individu masing-masing direman selama tiga dan empat hari.

Daripada jumlah itu, 14 individu merupakan penjawat awam manakala selebihnya merupakan orang awam yang berusia antara 21 tahun hingga 55 tahun.

Sementara itu, di Johor, seramai 13 individu berusia antara 35 hingga 45 tahun ditahan reman selepas Penolong Pendaftar, Mohammad Salehuddin Abd. Sani membenarkan permohonan reman selama tujuh hari di Mahkamah Majistret Johor Bahru.

44 direman bantu siasatan salah guna pengesahan cap sempadan

Mereka yang direman terdiri daripada lapan penjawat awam dan lima orang awam.

Di Shah Alam pula, seramai empat individu berusia antara 33 tahun hingga 36 tahun yang terdiri daripada tiga penjawat awam dan seorang individu awam ditahan reman selama lima hari sehingga 21 November ini selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Nor Diana Masri di Mahkamah Shah Alam.

Dalam pada itu, di Sabah, perintah reman selama lima hari terhadap tiga orang awam  berusia antara 24 hingga 27 tahun dikeluarkan oleh Majistret Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Richard Isidore selepas SPRM membuat permohonan reman secara dalam talian dari Pejabat SPRM Sabah. 

Manakala di Sarawak, seorang individu awam berusia 23 tahun ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini selepas Majistret Afidah Abdul Rahman membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Samarahan, pagi tadi.

Menurut sumber, kesemua suspek yang terdiri daripada pegawai imigresen dan orang awam itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyalahgunaan pengesahan cap di sempadan, khususnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), KLIA 2 dan Bangunan Sultan Ismail (BSI) Johor Bahru. 

Jelasnya, operasi secara besar-besaran tersebut adalah usahasama SPRM bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Katanya lagi, kesemua suspek yang ditahan reman tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 ASPRM 2009 dan Seksyen 17 ASPRM 2009.