KUALA LUMPUR: Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) kepada 49,000 pekebun kecil getah dengan peruntukan RM9.8 juta akan disalurkan sebelum atau pada 14 April ini.

Menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), BKKA akan turut disalurkan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kepada pekebun kecil yang memiliki kebun getah dengan keluasan 2.5 hektar ke bawah.

"Lembaga Getah Malaysia akan menyalurkan BKKA sebanyak RM200 kepada pekebun kecil getah berdaftar dengan keluasan kebun getah melebihi 2.5 hektar sehingga 6.0 hektar.

"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 29 Mac lalu mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menyalurkan BKKA sebanyak RM200 dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM170 juta kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

BACA: Tarikh bayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2023 diawalkan 14 April

Mengulas lanjut, KPK berkata, pihaknya telah mengambil tindakan bagi memastikan kumpulan sasar yang terdiri daripada pekebun kecil getah mendapat manfaat BKKA.

"BKKA 2023 khusus kepada pekebun kecil getah ini diharapkan dapat meringankan beban golongan ini di seluruh negara dalam memenuhi keperluan sempena sambutan Aidilfitri yang menjelang tiba," ujarnya.