SHAH ALAM: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) merekodkan sebanyak 5,101 kes masalah pendengaran disebabkan kebisingan pekerjaan, dari Januari hingga Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud berkata kebanyakan kes melibatkan pekerja dalam sektor pembuatan yang terdedah kepada bunyi bising melebihi 82 desibel (dB) bagi tempoh lapan jam secara berterusan.

Selain itu, Mustapha berkata sebanyak 185 kes berkaitan masalah tulang dan otot disebabkan pekerjaan dan 146 kes melibatkan pendedahan kepada bahan kimia berbahaya kepada kesihatan, turut direkodkan bagi tempoh sama.

Beliau berkata pihaknya memandang serius kes-kes yang berlaku kerana ia secara tidak langsung merugikan tenaga kerja negara.

"Kita tidak mahu penyakit pekerjaan ini melebar dan dengan konvensyen yang dilaksanakan hari ini adalah antara langkah pemerkasaan yang dilakukan bertujuan untuk mengurangi kes-kes baharu.

"Amalan-amalan terbaik dalam pekerjaan dapat dikongsikan bersama rakan-rakan dalam pelbagai sektor di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Konvensyen Program Penambahbaikan Aras Kesihatan Pekerjaan Sistematik - Lakukan Sendiri (SOHELP DIY) Kebangsaan 2023 anjuran JKKP dan Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (MNKKP) di sini semalam.

Mustapha berkata JKKP telah merangka strategi menerusi Pelan Induk Keselamatan dan Kesihatan 2021 hingga 2025 (OSHMP 25) yang bertujuan mengurangkan kadar kecederaan serta meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kawalan terhadap penyakit pekerjaan.

"Ini sekali gus membantu usaha-usaha kerajaan dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat khususnya dalam kalangan pekerja.

"Ia memerlukan kerjasama termasuk majikan dan pekerja untuk merealisasikan agenda itu," katanya.

-- BERNAMA