KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,519 kes telah dilaporkan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) di antara 2018 hingga Januari tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 4,713 kes atau 85.4 peratus telah diselesaikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, sebanyak 3,060 kes atau 55.4 peratus pula telah dituduh di mahkamah.

"Kerajaan sentiasa komited dalam membanteras kes-kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

"Secara amnya, penggubalan Akta 792 adalah suatu langkah yang sangat baik dalam membantu pihak polis untuk menjalankan siasatan dan pihak pendakwaan dalam merangka pertuduhan yang khusus di bawah Akta 792, berbanding dengan undang-undang jenayah am yang terpakai kepada orang dewasa seperti Kanun Keseksaan dan undang-undang lain yang berkaitan.

"Ini adalah kerana, sering kali kes kesalahan-kesalahan seksual yang melibatkan mangsa kanak-kanak ini akan mempunyai ciri-ciri kes yang unik, yang tiada di dalam kes-kes melibatkan orang dewasa.

"Oleh yang demikian, peruntukan di dalam Akta 792 dapat memberikan perlindungan yang lebih jitu dan menyeluruh kepada kanak-kanak," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Azalina (BN-Pengerang) menjawab pertanyaan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang meminta kerajaan menyatakan bilangan kes kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang telah dilapor, didakwa, dan diselesaikan sejak Akta 792 dikuatkuasakan.

Young Syefura juga ingin tahu, apakah rancangan dan usaha kerajaan untuk membanteras kes-kes sedemikian sekali gus menambahbaik sistem keadilan jenayah kanak-kanak.

Menjawab lanjut, Azalina berkata kerajaan sedang dalam proses membuat beberapa pindaan terhadap Akta 792 bagi menambah baik peruntukan sedia ada.

Selain itu, beliau berkata kerajaan turut akan meminda Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak 2007 (Akta 676).

Jelas beliau, ia bagi memperuntukkan pendengaran khas sebagai suatu lagi mekanisme, di mana keterangan saksi kanak-kanak boleh diambil dalam bentuk rakaman video supaya kanak-kanak tidak perlu menghadiri perbicaraan.

"Namun begitu, kaedah perundangan sahaja adalah tidak mencukupi untuk menangani isu jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

"Semua langkah yang diambil dalam proses sistem keadilan jenayah bagi sesuatu kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak hendaklah mesra kanak-kanak (child-friendly).

"Ini termasuklah daripada peringkat laporan kepada pihak berkuasa, siasatan, hingga ke prosiding di mahkamah.

"Perkara ini adalah mustahak bagi mendapatkan keterangan terbaik daripada saksi kanak-kanak dan juga meminimumkan trauma dan stigma yang bakal dihadapi oleh kanak-kanak yang terlibat," ujarnya lagi.