SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu:


1. Jawatan Adhif Syan dalam PPBM diketahui hari ini

Majlis Tertinggi Bersatu akan bermesyuarat hari ini bagi membincangkan isu Ketua Armada Selangor, Adhif Syan Abdullah yang ditahan polis dalam satu serbuan baru-baru ini.

Semalam, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri Dengkil Adhif Syan Abdullah sebagai Ketua Armada Selangor digantung berkuat kuasa serta-merta.



2. Fasa kedua perbicaraan pendakwaan ke atas Trump bermula

Proses kedua dalam fasa prosiding perbicaraan terhadap Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bermula hari ini dengan 100 senator mengangkat sumpah di hadapan ketua hakim Mahkamah Agung, John Roberts.

Semalam, proses pertama selesai dijalankan apabila kongres AS meluluskan resolusi untuk kemukakan artikel pendakwaan ke atas Trump bagi memberi laluan kepada Dewan Senat untuk membicarakan Trump.

Proses perbicaraan itu dijadual berlangsung selama seminggu bermula 21 Januari ini.

Trump didakwa menyalahgunakan kuasa dengan cuba mempengarui pemimpin Ukraine menjalankan siasatan ke atas pencabarnya Joe Biden.



3. Tiada kaitan dengan wabak Koronavirus

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan situasi jangkitan influenza di Malaysia tiada kaitan dengan kejadian wabak koronavirus baharu (novel coronavirus) di Wuhan, China.

Beliau juga memaklumkan tiada kes membabitkan koronavirus baharu dilaporkan di negara ini, namun kerajaan mengambil langkah siap sedia bagi menghadapi potensi penularan penyakit itu.

Kerajaan Jepun pada Khamis mengesahkan kes koronavirus pertama di negara itu.

Agensi berita Japan Times melaporkan mangsa warganegara China itu telah melawat wilayah Wuhan di timur China dan hasil ujian mendapati dia positif menghidap virus itu.



4. Hari terakhir kempen Kimanis

Hari ini genaplah tempoh berkempen selama 14 hari yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi pilihan raya kecil (PRK) Kimanis.

Esok akan bermula perjuangan sebenar parti-parti bertanding. Parti Warisan Sabah (Warisan) diramal menang selesa sekali gus meranapkan status kubu kuat yang dipegang parti Barisan Nasional (BN) di Parlimen itu.

Hasil kajian yang dijalankan badan pemikir Ilham Centre mendapati calon Warisan, Datuk Karim Bujang yang berkhidmat selama lima penggal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan mempunyai kelebihan dengan 57 peratus berbanding calon BN, Datuk Mohamad Alamin.



5. The Garden of Evening Mists (TGOEM)

Diadaptasi dari sebuah novel dengan judul yang sama, filem TGOEM yang dijangka menjadi satu lagi filem pecah panggung mula ditayangkan mulai semalam.

Filem cinta hasil kerja seni pengarahTaiwan Tom Shu-Yu Lin ini merupakan terbitan Astro Shaw dan HBO Asia dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan dengan kerjasama CJ Entertainment.

Ia menjadi filem Malaysia pertama mendapat sembilan pencalonan, Filem Terbaik (Astro Shaw & HBO Asia), Pengarah Terbaik (Tom Shu-Yu Lin), Pelakon Wanita Terbaik (Lee Sinje), Lakon Layar Adaptasi Terbaik (Richard Smith), Sinematografi Terbaik (Kartik Vijay), Arahan Seni Terbaik (Penny Tsai Pei Ling, Lum Heng-Soon, Chen Hsuan-Shao), Rekaan Kostum & Solekan Terbaik (Nikki Gooley, Biby Chow, Penny Tsai Pei-ling, Nina Edwards), Skor Muzik Asal Terbaik (Onn San) dan Penyunting Filem Terbaik (Soon Mun-thye).

TGOEM turut melakar sejarah yang tersendiri apabila membuat penampilan antarabangsa dengan mengadakan tayangan di 24th Busan International Film Festival selain dipertontonkan di 16th Hong Kong Film Festival serta mendapat pengiktirafan untuk dipertontonkan di Taipei Golden Horse Film Festival menerusi Kategori 'Closing Film' tahun lalu.

Tonton TGOEM di pawagam berhampiran anda.


Baca juga 10 Berita Pilihan sepanjang Khamis di sini.