SEBELUM memulakan hari anda, berikut lima berita penting perlu anda tahu.

1. Perkembangan politik tanah air

Kemelut politik negara masih belum berakhir sepenuhnya walaupun Perdana Menteri kelapan sudah dilantik susulan peletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad 24 Feb lalu.

Ketika ini, selain persoalan siapa yang bakal mengisi Kabinet susulan pertukaran pentadbiran kerajaan yang kini diterajui pakatan baru dinamakan Perikatan Nasional, di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, turut menjadi perbualan ialah perkembangan di peringkat negeri.

Paling hangat diperkatakan, perbuatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang berdiri lebih satu jam di hadapan pagar rumah Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Hasnul yang sebelum itu menangis teresak-esak ketika mengosongkan pejabat selaku Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri, kemudiannya menjelaskan, tindakan beliau itu hanya bertujuan mendapatkan penjelasan daripada Menteri Besar Perak itu.

Selain Perak, beberapa negeri seperti Kedah dan Melaka dijangka mendapat Menteri Besar baharu selepas penyandangnya mengosongkan pejabat masing-masing.

Di Perak, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Datuk Saarani Mohamad, yang juga ADUN Kota Tampan, disebut-sebut bakal Menteri Besar baharu menggantikan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Bagaimanapun, keputusan akhir masih dinanti susulan tiga nama calon, dipercayai daripada Bersatu, UMNO dan Pas, akan dibawa ke Istana Perak.

Sementara di Melaka, timbul desas-desas mengatakan jawatan Ketua Menteri akan diisi sama ada oleh ADUN Lendu Datuk Sulaiman Md Ali, ADUN Sungai Udang Datuk Seri Idris Haron dan ADUN Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

2. Perkembangan terkini COVID-19

Malaysia mencatat tujuh kes terbaru positif COVID-19 pada Selasa, menjadikan jumlah kumulatif kes tersebut di negara ini kepada 36 kes.

Di ibu negara, tular di media sosial meminta orang ramai menjauhi kawasan sekitar Pantai dan Bangsar, termasuk pejabat Malakoff di KL Sentral yang dikatakan ditutup, kerana kononnya ada jangkitan COVID-19.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan jurucakap Malakoff.

Sementara itu, kakitangan UDA Holdings Berhad di Blok Menara, Kompleks Pertama diarah bekerja dari rumah bermula semalam selepas salah seorang Ahli Lembaga Pengarahnya disahkan positif COVID-19.

Menunjukkan keseriusan, Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin memulakan tugas pada hari kedua di pejabatnya dengan mendengar taklimat mengenai keadaan ekonomi dan status terkini wabak COVID-19.

Di Singapura pula, mulai jam 11.59 malam ini, pelancong yang mempunyai sejarah perjalanan ke Iran, Itali utara dan Korea Selatan dalam tempoh 14 hari lepas, dilarang masuk ke republik itu.

Di seluruh dunia, setakat Selasa, lebih 92,000 telah dijangkiti koronavirus tersebut dan lebih 3,000 kematian direkodkan.

3. Pengurangan OPR oleh Bank Negara

Bank Negara Malaysia (BNM) pada Selasa membuat keputusan untuk mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus.

Kadar koridor tertinggi dan terendah bagi OPR masing-masing diturunkan kepada 2.75 peratus dan 2.25 peratus.

Katanya, ia bagi menyediakan persekitaran monetari yang lebih akomodatif bagi menyokong jangkaan pertumbuhan ekonomi yang bertambah baik dalam keadaan harga yang stabil.

Penganalisis melihat pengurangan kadar oleh BNM itu tepat pada masanya untuk membantu ekonomi, berikutan Malaysia bukan sahaja berdepan penularan COVID-19 tetapi juga perubahan politik.

Susulan itu, Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pada Selasa dengan lebih tinggi berbanding penyusutan pada hari sebelumnya.

4. Super Tuesday tentukan calon Demokrat yang bakal menyaingi Trump

Perkembangan politik di Amerika Syarikat.

14 negeri di Amerika Syarikat secara serentak mengundi untuk menentukan calon Demokrat yang bakal menyaingi Presiden Donald Trump dalam pilihan raya presiden November depan.

Pengundian terbesar ini juga dinamakan sebagai Super Tuesday.

Bernie Sanders mendahului selepas empat negeri mengundi sementara Joe Biden turut melonjak kedudukannya selepas kemenangan di South Carolina.

Pengundian kali ini turut pertama kali menampilkan hartawan dan bekas datuk bandar New York, Michael Bloomberg.

5. Keputusan perlawanan bola sepak

Piala FA England

Chelsea 2 -0 Liverpool
West Brom 2 -3 Newcastle
Reading 1 -2 Sheff Utd