Skip to main content

Malaysia

50,000 masyarakat India B40, M40 bakal nikmati manfaat RM65.5 juta MITRA

TB_RAMANAN_FIRDAUS MOHARI
Ramanan berkata enam program utama diperkenalkan membabitkan aspek pendidikan, keusahawanan, pembangunan komuniti, kesihatan serta bantuan sosial. - Astro AWANI/ Firdaus Mohari

KUALA LUMPUR: Kira-kira 50,000 masyarakat India daripada golongan B40 dan M40 dijangka menerima manfaat menerusi pelbagai inisiatif diperkenalkan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dengan keseluruhan peruntukan mencecah RM65.5 juta tahun ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata enam program utama diperkenalkan membabitkan aspek pendidikan, keusahawanan, pembangunan komuniti, kesihatan serta bantuan sosial bagi meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat India di negara ini.

Beliau berkata, pelaksanaan program berkenaan dapat direalisasikan susulan tambahan peruntukan RM50 juta kepada MITRA yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini, menjadikan keseluruhan peruntukan RM150 juta bagi tahun ini.

“Tambahan dana ini membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan secara terus dan tersasar kepada golongan memerlukan, khususnya B40 dan M40,” katanya pada sidang media di sini, pada Jumaat.

Enam inisiatif utama yang diumumkan adalah seperti berikut:

  1. Program Celik MADANI Subsidi pendidikan awal untuk kanak-kanak India B40 di peringkat prasekolah melibatkan 4,000 penerima dengan bantuan maksimum RM2,530 seorang. Jumlah keseluruhan peruntukan adalah RM10 juta.
     
  2. Program Kalvi MADANI Penyediaan tuisyen percuma kepada 5,000 pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) daripada keluarga B40 menerusi kerjasama dengan pusat tuisyen berdaftar. Keseluruhan peruntukan RM5 juta.
     
  3. Program MADANI Rakyat
Kerjasama antara MITRA dan Ahli Parlimen Kerajaan di 38 kawasan berpenduduk India padat bagi melaksanakan program komuniti tersasar untuk masyarakat India. Setiap pusat khidmat akan menerima RM150,000, dengan jumlah keseluruhan peruntukkan RM12 juta.
     
  4. Program Arogya MADANI Bantuan subsidi dialisis sehingga RM5,000 setahun kepada 1,300 pesakit buah pinggang kronik daripada golongan B40 dan M40. Keseluruhan peruntukan sebanyak RM6.5 juta.
     
  5. Program Thunai MADANI Bantuan kewangan dan sokongan kebajikan sehingga RM5,000 kepada masyarakat India B40 merangkumi bantuan bencana, kesihatan, sosial, ibu bersalin dan perkahwinan. Permohonan dibuka 5 Jun ini.
     
  6. Program Uyarvu MADANI Geran permulaan perniagaan (startup) pelbagai sektor termasuk E-dagang, automotif, teknologi digital, pertanian, percetakan dan perkhidmatan komuniti, sehingga RM50,000 kepada 500 usahawan India daripada golongan B40 dan M40.

Dalam pada itu, Ramanan memberitahu, semua bantuan itu akan dipantau secara berkala bagi memastikan ketelusan dan keberkesanan pelaksanaan program.

MITRA, yang pada asalnya dikenali unit khas Pembangunan Sosioekonomi Komuniti India (SEDIC), ialah sebuah unit khas bertanggungjawab dalam menangani isu pembangunan sosioekonomi masyarakat India di Malaysia.

Antara fungsi utama MITRA ialah mengenal pasti isu dan cabaran semasa masyarakat India Malaysia, melaksanakan inisiatif pembangunan sosioekonomi bagi masyarakat India Malaysia dan menyelaras kerjasama antara Kerajaan dan pihak swasta ke arah pembangunan masyarakat India Malaysia secara holistik.

 

Must Watch Video

Advertisement