KUCHING: Sebanyak 59,710 daripada keseluruhan 734,388 surat hak milik tanah berdaftar di Sarawak terlibat dengan semakan semula kadar cukai tanah berkuat kuasa 1 Jan depan.

Jabatan Tanah dan Survei Sarawak memaklumkan semakan semula itu dilaksanakan susulan pembangunan intensif di kawasan bandar serta sekitarnya yang menyebabkan kategori tanah di sesuatu kawasan dinaik taraf.

Jelasnya sebagai contoh, terdapat tanah pinggir bandar yang telah dinaik taraf kepada tanah bandar malah ada juga tanah desa dinaik taraf kepada tanah bandar.

Menurutnya, kadar cukai tanah sedia ada juga telah diguna pakai sejak 1994 iaitu selama 28 tahun.

"Semakan cukai terbaharu ini tidak melibatkan tanah yang telah dimansuhkan cukai pada 2016 iaitu tanah kegunaan pertanian berkeluasan kurang daripada 100 ekar dan tanah kegunaan kediaman.

"Para pemilik tanah boleh membuat semakan cukai baharu di Jabatan Tanah dan Survei di Bahagian masing-masing," menurut jabatan itu dalam kenyataan hari ini.

Menerusi kadar cukai tanah baharu itu, surat hakmilik tanah bagi kegunaan rumah kedai akan dikenakan kadar dari RM0.22 hingga RM1.62 semeter persegi.

"Bagi kegunaan komersial selain daripada rumah kedai dan bagi kegunaan pelabuhan, perlombongan serta mineral dan galian adalah dari RM0.20 hingga RM1.46 semeter persegi," menurut kenyataan itu.

Orang awam juga boleh mendapat maklumat lanjut mengenai perkara berkenaan menerusi laman sesawang Jabatan Tanah dan Survei Sarawak di https://landsurvey.sarawak.gov.my

-- BERNAMA