PUTRAJAYA: Selepas merekodkan 9,020 kes semalam, jumlah kes positif COVID-19 dicatatkan sejak 24 jam lalu berkurang kepada 6,999 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri Selangor kekal mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 2,477 kes dikesan setakat 12.00 tengah hari pada Ahad.

Jumlah kematian pula merekodkan angka membimbangkan selepas 79 kematian dicatatkan dalam tempoh sama.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan meningkat kepada 78,017 kes. Sementara itu kes yang memerlukan rawatan di ICU ialah 846 kes. Ini adalah kes yang telah disahkan positif COVID-19.

“Masih ada lagi kes saring yang dalam penyiasatan. Kes yang perlukan bantuan alat pernafasan ialah 419 kes, kes kematian ialah 79 kes menjadikan jumlah kumulatif kematian ialah 2,729 kes,” katanya dalam sidang media COVID-19 di sini pada Ahad.

Turut hadir ialah Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. 

Tambah beliau, kes kematian pada Ahad melibatkan 78 warganegara Malaysia dan seorang bukan warganegara.

“79 kes kematian hari ini melibatkan masing-masing 15 kes di Selangor dan Negeri Sembilan, 13 kes di Kedah, 12 kes di Johor, lima di Pulau Pinang.

“Selain itu, masing-masing empat kematian di Terengganu dan Melaka, masing-masing tiga kes di Kuala Lumpur dan Sarawak, dua di Sabah dan satu kes di Labuan, Perak dan Pahang,” ujarnya.

Tambah beliau, sebanyak 17 kluster baharu dikesan pada Ahad menjadikan jumlah kluster keseluruhan kini ialah 2,163 kluster dengan 635 masih aktif.