NATIONAL
60 individu ditahan dalam operasi pencerobohan tanah di Pahang

Yahaya berkata 59 kertas siasatan telah dibuka menerusi operasi yang dijalankan bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) dan Pejabat Hutan Daerah. - Gambar fail/Bernama
KUANTAN: Sebanyak 60 individu termasuk warga asing ditahan sepanjang operasi pencerobohan tanah di Pahang bermula Ogos lepas hingga kini, kata Ketua Polis negeri Datuk Seri Yahaya Othman.
Ringkasan AI
- Sebanyak 60 individu ditahan dalam operasi pencerobohan tanah di Pahang sejak Ogos, dengan pihak berkuasa turut merampas 105 kenderaan dan 622 unit peralatan dalam usaha membanteras kegiatan tersebut.
- Kes kecurian kabel di Pahang meningkat kepada 414 kes pada 2024, berbanding 211 kes pada tahun sebelumnya, mendorong polis memberi penerangan kepada peniaga barang lusuh bagi mengelakkan mereka membeli barangan yang dicuri.
- Polis telah merakam keterangan lima individu berkaitan kes bayi 13 bulan yang cedera akibat terjerut kain buaian, dan setakat ini tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian tersebut.
"Kami akan menggiatkan operasi pencerobohan tanah dan mengambil tindakan terhadap mereka yang melanggar undang-undang bukan sahaja di Raub tetapi di daerah lain. Kita juga menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak melakukan provokasi dalam hal ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perjumpaan bersama wakil syarikat telco dan peniaga barang lusuh Pahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalannya Datuk Azry Akmar Ayob.
Sementara itu, Yahaya memaklumkan kes kecurian kabel di negeri ini meningkat kepada 414 kes dengan 100 tangkapan pada 2024, berbading 211 kes melibatkan 31 tangkapan pada tahun sebelumnya.
Justeru, beliau berkata perjumpaan itu merupakan inisiatif bagi memberi penerangan kepada peniaga barang lusuh kerana kerjasama semua pihak diperlukan bagi menangani kegiatan tersebut.
"Ini bagi memastikan kedai barang lusuh atau besi buruk tidak membeli barangan yang dicuri kerana ia menyalahi undang-undang," katanya.
Mengulas kes seorang bayi lelaki berusia 13 bulan yang cedera akibat terjerut kain buaian, Yahaya berkata pihaknya telah merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan dan setakat ini mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu.
Media sebelum ini melaporkan, ibu kepada bayi berkenaan mahu siastaan lanjut dilakukan pihak berkuasa susulan anaknya didakwa cedera akibat terjerut kain buaian di rumah pengasuh pada 15 April lepas.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami