KUCHING:Masalah bekalan air bersih yang membelenggu penduduk di Kampung Sungai Aur dan Kampung Sibu Laut, Pantai Damai sejak 60 tahun lalu akhirnya bakal diselesaikan menjelang penghujung tahun ini.

Menurut Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, projek Bekalan Air Luar Bandar Sistem Retikulasi Zon satu di kawasan itu telahpun mendapat kelulusan daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Pihak kontraktor bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar terpaksa menggunakan sistem 'submarine pipe' yang disalurkan di dasar sungai.

“Ini satu cabaran kerana air sungai di Telaga Air ini sangat deras,” katanya.

Jelas beliau, projek bekalan air bersih dengan kos RM4.16 juta itu juga bakal memanfaatkan lebih 20,000 penduduk di kawasan Pantai Damai.

Bercerita lanjut katanya, projek di kedua-dua kampung berkenaan kini sedang memasuki fasa terakhir pemasangan saluran paip melibatkan dua sumber kekal di Telaga Air dan akan disambungkan terus ke setiap rumah penduduk di kawasan seberang sungai itu.

Tambahnya, pemasangan paip air sepanjang 10 kilometer itu juga bakal membuka potensi pelancongan kepada pengunjung luar.

“Salah satu perkara yang menarik perhatian kita adalah keindahan alam semulajadi di kawasan ini.

“Jadi, pihak kita telah mencadangkan perkara ini kepada pihak Kementerian Pelancongan untuk memasukkan Kampung Sungai Aur, Kampung Sibu Laut, Kampung Telaga Air, dan kampung-kampung sekitarnya dalam aktiviti pelancongan negeri pada masa akan datang terutama dalam sektor ekopelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan Projek Pontoon dan Jeti kepada wakil penduduk di Kampung Sibu Laut.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Aur yang ditemui Astro AWANI, Tahur Seman berkata, dengan perkembangan ini mereka berharap tidak lagi bergantung dengan telaga dan air tadahan hujan untuk menampung aktiviti seharian mereka.

“Sebelum ini, kami hanya bergantung pada telaga di mana airnya kotor. Kemudian barulah kami disediakan tangki air oleh pihak kerajaan sehinggalah kepada projek bekalan air bersih ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Kampung Sibu Laut, Senep Yassin, berkata setiap kali musim kemarau mereka terpaksa bergantung kepada air mineral yang disumbangkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Kalau kekurangan air pada waktu kemarau, kami akan memohon bantuan daripada JKM untuk mendapatkan bekalan air bersih seperti air mineral.

“Pihak mereka akan menyumbang sebanyak 400 kotak untuk kegunaan penduduk kampung,” ujarnya Ketika ditemu bual Astro AWANI.


Untuk rekod, 34 Program Transformasi Luar Bandar (RTP) telah dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai pada tahun ini.

Projek-projek berkenaan merupakan projek yang telah dipohon oleh masyarakat menerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).