KUALA LUMPUR: Sebanyak 713 kandungan pemalsuan imej atau deepfake melibatkan pemimpin parti politik telah diturunkan pemberi perkhidmatan bagi tempoh 1 Jan 2025 hingga 15 Sept lepas.
Kementerian Komunikasi memaklumkan, tindakan penurunan berkenaan dibuat hasil permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berdasarkan aduan yang dikemukakan, pelanggaran garis panduan komuniti pemberi perkhidmatan serta undang-undang tempatan yang berkuat kuasa.
“Bagi memastikan penguatkuasaan tidak bersifat selektif, tindakan MCMC adalah berdasarkan peruntukan undang-undang, elemen kesalahan, fakta dan bukti, tanpa mengambil kira fahaman politik, kedudukan atau latar belakang individu yang terlibat,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Ia bagi menjawab pertanyaan Afnan Hamimi Taib Azamuddean (PN-Alor Setar) mengenai jumlah aduan dan tindakan terhadap kandungan deepfake melibatkan pemimpin parti politik sepanjang 2025 hingga 2026.
Menurut kementerian itu, penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) termasuk deepfake, scam (penipuan) dan pemalsuan identiti ditangani berdasarkan sifat dan elemen kesalahan serta bidang kuasa kementerian atau agensi penguatkuasaan berkaitan.
“Bagi kandungan yang mempunyai unsur lucah, sumbang, palsu, mengancam, jelik melampau atau kandungan memudaratkan, MCMC boleh mengambil tindakan berdasarkan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) atau Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866),” menurut kementerian itu.
Dalam kes melibatkan tindakan pendakwaan, rujukan dibuat kepada Jabatan Peguam Negara untuk penilaian dan pendakwaan hanya dilaksanakan selepas mendapat izin bertulis daripada Pendakwa Raya.
Kementerian Komunikasi juga memaklumkan, terdapat mekanisme semak dan imbang di bawah undang- undang yang dikawal selia MCMC bagi memastikan suruhanjaya itu bertindak adil, bebas tanpa sebarang tekanan luaran.
Antaranya pihak yang terkilan boleh membuat rayuan terhadap tindakan dan keputusan MCMC di Tribunal Rayuan yang diwujudkan di bawah Akta 588 serta Akta 866 dan seterusnya membuat permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi sekiranya tidak berpuas hati terhadap keputusan Tribunal Rayuan.
Sementara itu, Kementerian Komunikasi memaklumkan, MCMC sedang melaksanakan Sistem Amaran Awal (EWS) yang akan menggunakan teknologi Cell Broadcast System (CBS) sebagai mekanisme penyampaian amaran bencana lebih pantas, bersasar dan berkesan kepada peranti mudah alih yang serasi di kawasan terjejas.
Kementerian itu memaklumkan, sistem berkenaan akan melengkapkan dan seterusnya menggantikan kaedah penyampaian amaran sedia ada melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).
“Pelaksanaan sistem ini adalah berasaskan prinsip reka bentuk yang inklusif bagi memastikan manfaat penyampaian maklumat kecemasan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk pengguna Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan, pendengaran serta golongan yang menghadapi kesukaran membaca.
“Selain paparan teks, sistem CBS direka untuk menyokong penyampaian mesej amaran dalam bentuk getaran dan audio melalui fungsi kebolehcapaian pada peranti mudah alih yang serasi, termasuk fungsi pembaca skrin atau output suara,” menurut kementerian itu.
Kementerian itu menjawab pertanyaan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai perkembangan pelaksanaan CBS dan sama ada sistem tersebut direka mesra OKU penglihatan serta golongan yang menghadapi kesukaran membaca.
Bagi aspek kesinambungan penyampaian amaran semasa gangguan talian atau Internet, CBS mempunyai kelebihan kerana mesej amaran dihantar secara terus melalui rangkaian mudah alih kepada peranti pengguna di kawasan terjejas, tanpa memerlukan nombor telefon penerima, perkhidmatan SMS atau sambungan Internet.
“Penghantaran mesej CBS hanya memerlukan sekurang-kurangnya satu perkhidmatan rangkaian mudah alih yang berfungsi di kawasan berkenaan tanpa mengira pemberi perkhidmatan mudah alih dilanggan oleh pengguna,” menurut kementerian itu.
-- BERNAMA