Baru-baru ini Astro AWANI menyiarkan lima siri laporan khas bertajuk "Kerakusan Manusia Musnahkan Sungai Tembeling."

Ia antara lain menyingkap keadaan Sungai Tembeling, Pahang yang cetek sehingga menjejaskan kehidupan seharian penduduk setempat.

Selain itu, ia turut meninjau sejauh mana kesan pembalakan dan penerokaan di kawasan tadahan air Ulu Tembeling.

Berikut adalah ringkasan 8 perkara yang perlu anda tahu mengenai Laporan Khas Astro AWANI berhubung Sungai Tembeling:

1. Apa yang terjadi kepada Sungai Tembeling?

Musim kemarau berpanjangan menyaksikan penyusutan ketara paras air di Sungai Tembeling. Penduduk setempat mendakwa tidak pernah dalam sejarah sungai berkenaan, air sungainya cetek sedemikian.

"Sekarang pasir makin banyak, makin naik, makin tinggi. Dulu pasir tidak tinggi begini tapi sekarang sudah nak menutup aluran sungai dah." - Zakaria Ismail, Penduduk Kampung Bantal

Penduduk mendakwa air Sungai Tembeling sudah mula menunjukkan tanda-tanda kering sejak beberapa tahun lalu.

"Air sungai ini sudah nampak kesannya dalam 5 hingga 6 tahun sudah. Sebelum ini ada kecetekan pernah berlaku pada sungai tapi bukan sebegini cetek," kata pengusaha bot, Hamizun Loai.


FOTO: Kerakusan manusia musnahkan Sungai Tembeling

Paras air Sungai Tembeling dikatakan begitu cetek sehingga mencecah paras buku lali. - Gambar Astro AWANI

2. Apakah punca penyusutan Sungai Tembeling?

Selain cuaca panas, penduduk mendakwa paras sungai yang sorot itu disebabkan aktiviti pembalakan yang tidak terkawal di kawasan tadahan air di hulu Sungai Tembeling.

"Kami di Kampung Mat Daling ini umpamanya padang jarak padang terkukur, gunung ganang dan bukit bukau semuanya habis ditebang oleh pihak tidak bertanggungjawab," kata Maisarah Doll, Penduduk Kampung Mat Daling.


BACA: Perkosa alam semulajadi, Sungai Tembeling jadi mangsa kerakusan manusia

3. Dakwaan pembalakan tidak terkawal

Hasil maklumat daripada Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam PEKA Pahang, wujud dakwaan pencerobohan haram di dua kompartmen di Hutan Rizab Gunung Ais.

Hasil tinjauan Astro AWANI ke lokasi menjumpai longgokan balak yang mencurigakan berikutan tiada tag rasmi Jabatan Perhutanan tertera pada setiap balak.

Tinjauan ke kawasan kaki Gunung Dulang juga mendapati kira-kira 2,000 hektar tanah diteroka di kawasan tadahan air berkenaan untuk tujuan peladangan kelapa sawit.

8 perkara anda perlu tahu mengenai laporan khas Sungai Tembeling

BACA: Spesies pokok kayu berkualiti Ulu Tembeling cetus 'nafsu' pembalak haram

4. Reaksi NGO Alam Sekitar

Presiden Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Pahang, Khaidir Ahmad, berpandangan kawasan berbukit atau tadahan air sewajarnya dipelihara dan tidak diteroka untuk sebarang aktiviti pembangunan.

"Tadahan air adalah kawasan tidak boleh disentuh langsung sama ada pembalakan berlesen atau pembalakan haram. Bagi Gunung Ais dan Gunung Dulang, ia adalah dua kawasan tadahan air semula jadi."

"Walaupun mereka tidak diwartakan sebagai kawasan tadahan air tetapi ia sangat penting untuk sistem Sungai Tembeling dan Sungai Pahang. Kalau kering Sungai Tembeling, Sungai Pahang juga akan kering," katanya.

BACA: Tanah di kaki Gunung Dulang diteroka, sisa racun mengalir ke sungai

5. Reaksi pakar perhutanan

Menurut Pensyarah Fakulti Perhutanan, Universiti Putra Malaysia, Profesor Awang Noor Abd. Ghani, apabila berlaku pembalakan di kawasan tadahan air, tanah dan pasir daripada kawasan yang dibalak akan dihanyutkan melalui sungai dan sekaligus akan mendap dan mencetekkan sungai.

"Jika pembalakan dilakukan di kawasan tadahan air, akibat kawasan yang ditebang dan pembukaan jalan oleh pembalakan untuk menarik keluar balak itu akan menyebabkan lumpur-lumpur dan tanah di kawasan hutan dibawa masuk ke dalam sungai apabila berlaku hujan."

"Jadi hakisan ini akan mendatangkan kesan kepada sungai seperti mendapan seperti mana yang berlaku di Sungai Tembeling," katanya.

BACA: Malaysia berdepan krisis jika gagal lindungi kawasan tadahan air - Pakar

6. Apa kesan akibat sungai kering?

Sejak Sungai Tembeling menjadi semakin cetek, penduduk mendakwa laluan utama sungai kini lumpuh, selain sumber ikan dan sektor pelancongan turut terjejas.

"Pendapatan hasil tangkapan saya di Sungai Tembeling ini adalah untuk cari ikan kelah iaitu mudik ke hulu Tembeling. Sekarang sungai sudah kering, kebanyakan ikan pun sudah tak ada.

"Sekarang ini hasil pendapatan bawa pelancong terjejas sebab paras air sungai menyusut. Sekarang bot-bot tidak dapat naik atas jeram lagi kerana tadahan air kat atas makin lama makin surut," kata Zakaria Serahan, Penduduk Kampung Mat Daling.


Keadaan itu turut mendesak sekumpulan penduduk dari beberapa perkampungan di Mat Daling menyuarakan bantahan terhadap aktiviti pembalakan di kawasan tadahan air.

Penduduk Kampung Mat Daling membantah pembalakan di kawasan tadahan air. - Gambar Astro AWANI

BACA: Penduduk Kampung Mat Daling bantah pembalakan di kawasan tadahan air

BACA: Derita Ulu Tembeling: Sungai kering, pengangkutan utama lumpuh

BACA: Detik cemas lahir anak dalam bot

BACA: Sungai Pahang cetek, pengusaha ikan sangkar terjejas

7. Reaksi Jabatan Perhutanan Negeri Pahang

Jabatan Perhutanan Negeri Pahang menafikan dakwaan berlakunya sebarang aktiviti pembalakan haram di Hutan Rizab Gunung Ais di Ulu Tembeling.

Pengarahnya, Datuk Mohd Paiz Kamaruzaman turut menafikan dakwaan berlaku pembalakan tidak terkawal sehingga menyebabkan Sungai Tembeling makin cetek.


"Saya berpandangan apabila disebut 'tanpa kawalan' itu adalah tidak tepat. Kalau kawasan pembalakan di Hutan Simpan Kekal kita ada kawalan kemas, kakitangan kita selalu melawat kawasan dan sebagainya," katanya.

BACA: Jabatan Perhutanan Pahang nafi dakwaan isu balak haram Ulu Tembeling

BACA: Pelaksanaan 'Bayaran Perkhidmatan Ekosistem' dikaji demi kurangkan pembalakan

8. Reaksi ADUN

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tahan, Datuk Seri Wan Amizan Wan Abdul Razak berkata aktiviti pembalakan dan penerokaan hutan adalah penting bagi tujuan pembangunan sekaligus memberi manfaat kepada penduduk setempat.


"Kawasan ini memang kawasan agak sensitif iaitu kawasan pedalaman terdiri daripada 5 perkampungan besar dan 7 perkampungan kecil melibatkan 2,600 penduduk tinggal sepanjang Sungai Tembeling iaitu kawasan paling pedalaman di Ulu Tembeling. Maka kita perlu membuka hutan bagi tujuan membina kemudahan infrastruktur kepada rakyat," katanya.

BACA: Tidak ada pembalakan haram di UIu Tembeling - ADUN Tahan