KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan permohonan Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19 diluluskan oleh Jawatankuasa Induk dengan sejumlah RM132,500 dalam proses pembayaran.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam jawapan yang disiarkan di laman rasmi Parlimen memaklumkan ia adalah antara 77 permohonan bagi bantuan itu yang diterima oleh kementerian berkenaan sehingga 5 Nov lepas.

Selain itu, sebanyak 62 permohonan masih lagi dinilai melibatkan 61 dalam penilaian Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin COVID-19 (JFK) manakala satu lagi dalam penilaian semula Jawatankuasa Teknikal Perubatan (JTP), selain tujuh permohonan ditolak.

"Amaun Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19 yang ditetapkan adalah tidak melebihi RM50,000 jika berlaku kesan advers yang serius kepada penerima vaksin COVID-19 yang memerlukan rawatan berpanjangan di hospital dan tidak melebihi RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan vaksin COVID-19," katanya.

KKM mengemukakan jawapan itu kepada Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) yang ingin tahu jumlah permohonan serta dana bantuan kewangan khas yang dibelanjakan dan diberi kepada mereka yang mendapat kesan sampingan serius selepas pengambilan vaksin COVID-19.

Menurut KKM, amaun bantuan sebenar kepada individu yang terkesan oleh kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI) akan ditentukan berdasarkan perakuan oleh JTP dan diputuskan Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19.

Bantuan khas itu akan dipertimbangkan berdasarkan kriteria yang perlu dipenuhi iaitu AEFI yang berlaku dalam tempoh tiga bulan daripada menerima vaksin mesti dikategorikan sebagai serius berdasarkan laporan penilaian JFK.

Selain itu, laporan AEFI perlu dihantar kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) oleh anggota kesihatan yang merawat pesakit.

-- BERNAMA