MALAYSIA
87 pentadbir masjid dipecat, langgar peraturan tauliah ceramah - Exco

Mohammad Fahmi berkata, mana-mana penceramah yang menyalahgunakan tauliah mengajar juga akan ditarik balik sekiranya aduan disahkan benar. - Gambar fail
SHAH ALAM: Kerajaan negeri mengambil pendekatan tegas dengan menamatkan perkhidmatan sekurang-kurangnya 87 pentadbir masjid di Selangor kerana melanggar peraturan berhubung tauliah di negeri itu.
Ringkasan AI
- Kerajaan Selangor menamatkan perkhidmatan sekurang-kurangnya 87 pentadbir masjid kerana melanggar peraturan tauliah, termasuk penceramah yang menyalahgunakan tauliah atau memegang jawatan politik.
- Pihak berkuasa seperti MAIS dan JAIS sedang meneliti pindaan terhadap Enakmen Pentadbiran Agama Islam bagi memperkemas penguatkuasaan, susulan kes penceramah tanpa tauliah yang pernah ditangkap dan ditarik tauliah sejak 2022.
- Exco Mohammad Fahmi Ngah menyeru orang ramai menyalurkan aduan jika berlaku pelanggaran peraturan, dan menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam isu tauliah agama.
"Pendekatan kerajaan negeri perlu tegas, pentadbir masjid seperti ini kita kena keluarkan (pecat) kerana kita ada model masjid pengurusan supaya ia terkawal dan tiada orang yang melanggar peraturan.
"Kalau penceramah pegang jawatan politik, tauliah boleh ditarik... kita tidak ada kompromi dalam hal ini.
"Kita ada dua isu, satu penceramah yang tidak bertauliah, memang tidak boleh masuk. Kalau yang masuk itu pentadbir masjid, maka pentadbir itu kena tukar (dipecat dan diganti),” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Isnin.
Sebelum ini dilaporkan, seorang 'ustaz’ yang ditahan polis kerana disyaki melakukan perbuatan jenayah baru-baru ini disahkan tidak mempunyai tauliah untuk mengajar agama di Selangor.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, pihaknya telah menarik tauliah mengajar individu berkenaan sejak 2022.
Menurutnya, individu tersebut juga pernah ditangkap oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) pada September 2024 kerana mengajar tanpa tauliah yang bersalahan dengan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
Mengulas lanjut, Mohammad Fahmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia turut meminta orang ramai untuk terus menyalurkan aduan sekiranya wujud pelanggaran peraturan seumpama itu.
"Saya sarankan rakyat terus adu kepada kerajaan negeri dan saya sendiri akan ambil tindakan kerana ia memerlukan asas dan bukti.
"Mahu tarik tauliah bukan mudah, kita kena pecat mereka yang tidak jalankan tugas mengikut peraturan masjid," ujarnya. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami