90 kes rogol, 43 kes buli libatkan pelajar di Kedah tahun lepas - Polis

Adzli berucap ketika lawatan sempena Sesi Persekolahan Pertama 2026 di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, hari ini. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Polis Kedah merekodkan sebanyak 43 kes buli di negeri ini sepanjang tahun 2025, meningkat mendadak berbanding hanya 10 kes pada tahun sebelumnya.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, statistik itu menunjukkan peningkatan sebanyak 330 peratus kes berkaitan kejadian buli yang tidak lagi boleh dipandang ringan.
Katanya, ia memerlukan tindakan bersepadu semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa serta masyarakat.
"Sepanjang tahun 2025, Polis Kedah merekodkan 43 kes buli berbanding 10 kes pada tahun 2024. Daripada jumlah itu, 32 kes berlaku di sekolah menengah, sembilan kes di sekolah rendah manakala dua kes lagi melibatkan sekolah persendirian.
"Daripada keseluruhan kes tersebut, seramai 31 pelaku telah ditangkap dan 11 daripadanya sudah dituduh di mahkamah.
"Statistik ini membuktikan bahawa perbuatan buli bukan isu kecil dan akan berdepan tindakan undang-undang tanpa kompromi," katanya ketika berucap pada lawatan sempena Sesi Persekolahan Pertama 2026 di Kolej Sultan Abdul Hamid di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Abdul Rahim Mat.
Selain isu buli, Adzli turut mendedahkan statistik membimbangkan berkaitan kes rogol membabitkan murid sekolah, dengan sebanyak 90 kes direkodkan di Kedah sepanjang 2025.
Katanya, daripada jumlah itu, 78 kes melibatkan murid sekolah menengah manakala 12 kes lagi membabitkan murid sekolah rendah.
"Siasatan Unit D11 (Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah mendapati kebanyakan kes rogol membabitkan murid sekolah berkait rapat dengan masalah sosial dan keruntuhan moral.
"Ia termasuk disebabkan pergaulan bebas tanpa pengawasan serta kepercayaan yang disalahgunakan," katanya.
Adzli berkata, kesedaran terhadap keselamatan diri serta pendidikan seksual dalam kalangan murid amat penting bagi mencegah jenayah daripada terus berlaku.
"Tiada sesiapa mempunyai hak untuk menyentuh, memaksa atau mengambil kesempatan ke atas diri seseorang, sama ada secara fizikal, emosi atau melalui media sosial.
"Sekiranya berlaku sebarang gangguan atau perlakuan mencurigakan, laporkan segera kepada guru, ibu bapa atau pihak berkuasa," katanya.
Adzli turut memberi peringatan tegas bahawa tiada perlindungan undang-undang terhadap sebarang perlakuan jenayah, walaupun pelaku masih di bawah umur atau merupakan murid sekolah, di mana undang-undang akan tetap dilaksana tanpa kompromi.
"Sebagai pengajaran, kita boleh merujuk kepada kes buli yang berlaku di Sungai Petani pada bulan Julai 2025 yang lalu, di mana pelaku dua orang murid sekolah telah pun didakwa di mahkamah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, walaupun dua individu terlibat merupakan murid perempuan Tingkatan Satu.
"Kes ini membuktikan bahawa satu tindakan salah boleh membawa implikasi besar terhadap masa depan seseorang. Oleh yang demikian, saya berharap agar tahun 2026 tidak lagi dicemari dengan kejadian-kejadian buli di sekolah," katanya.
Dalam pada itu, Adzli berkata kehadiran polis di sekolah bukan bertujuan penguatkuasaan, sebaliknya sebagai langkah pencegahan dan sokongan moral kepada pelajar, khususnya pada hari pertama persekolahan.
“Kami hadir untuk memastikan sekolah kekal sebagai zon selamat, tempat menimba ilmu dan membina sahsiah, bukannya lokasi berlakunya keganasan, ugutan atau penyalahgunaan dadah," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


