Skip to main content

Bisnes

Kejayaan tiga PKS dalam SME ESG Challenge buktikan ESG menjana nilai, bukan sekadar kos

UNGCMYB, SME ESG_Astro AWANI
Rizal Nainy (tengah) bersama tiga pemenang utama SME ESG Challenge iaitu Coffee Star (Belcoff Asia Pacific Sdn Bhd), Signature Market Sdn Bhd dan Anyi Smart Sdn Bhd. - Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Dalam landskap perniagaan yang semakin menekankan kelestarian dan tadbir urus bertanggungjawab, tiga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan membuktikan bahawa alam sekitar, sosial dan tadbir urus ESG bukan sekadar istilah korporat untuk syarikat gergasi, sebaliknya satu strategi yang mampu menjana nilai sebenar.

Anyi Smart Sdn Bhd, Coffee Star (Belcoff Asia Pacific Sdn Bhd) dan Signature Market Sdn. Bhd. adalah antara syarikat yang diiktiraf menerusi SME ESG Challenge, sebahagian daripada Program PKSLestari oleh SME Corp Malaysia dan dianjurkan bersama UN Global Compact Network Malaysia & Brunei (UNGCMYB).

Ketiga-tiga pemenang SME ESG Challenge hadir dengan pendekatan berbeza, namun berkongsi satu persamaan iaitu menjadikan kelestarian sebagai model perniagaan, bukan sekadar inisiatif sampingan.

Bagi Anyi Smart, ilham perniagaan bermula daripada satu pemerhatian mudah iaitu pembaziran tenaga elektrik di bangunan tinggi.

Menurut pengasasnya, Christopher Chang ribuan bangunan di Malaysia berdepan isu lampu di tempat letak kereta dan tangga kecemasan yang menyala 24 jam tanpa henti, menyebabkan sehingga 30 peratus kos operasi bangunan meningkat tanpa disedari.

"Kami memperkenalkan konsep 'ghost electricity' dan membangunkan model ANYI Triple Zero Promise termasuk Zero Cost (tiada modal pendahuluan), Zero Risk (100 peratus risiko ditanggung syarikat) dan Zero Worries (jaminan prestasi 10 tahun).

"Model tersebut membolehkan pengurusan bangunan menikmati aliran tunai positif sejak hari pertama, dengan penjimatan dilaporkan mencecah sehingga RM450,000 sepanjang tempoh kontrak.

"Pendekatan itu turut mengubah persepsi pelanggan terhadap syarikat daripada sekadar vendor kepada rakan strategik yang menjaga dana penyelenggaraan komuniti," jelas beliau.

Berbeza dengan Anyi Smart yang memfokuskan tenaga, Coffee Star pula membawa misi mendemokrasikan budaya kopi melalui mesin layan diri automatik di lokasi bertrafik tinggi seperti lapangan terbang, hospital dan universiti.

Namun, di sebalik model automasi, syarikat itu menekankan prinsip teras syarikat yang berpaksikan 4P yang merangkumi produk (product), manusia (people), planet, dan keuntungan (profit).

Ketua Pegawai Eksekutif Coffee Star, Raja Ahmad Fauzan Raja Hassan berkata mereka mendapatkan biji kopi daripada sumber mampan dan diperakui Fairtrade, mengamalkan sifar pembaziran sejak 2024, membayar gaji melebihi kadar minimum nasional serta komited menyumbang sekurang-kurangnya lima peratus keuntungan bersih kepada tujuan sosial.

"Bagi kami, ESG bukan soal menunggu skala besar, sebaliknya perlu dimulakan sejak hari pertama operasi dengan niat dan disiplin yang jelas," tambahnya.

Sementara itu, Signature Market menekankan bahawa pendekatan ESG telah menjadi teras kepada pembangunan jenama mereka.

"Melalui pensijilan seperti B Corp, Halal dan Organik, jenama ini membina kepercayaan pengguna terhadap komitmen mereka kepada komuniti dan alam sekitar.

Ketua Pematuhan Signature Market, Amelia Tan menjelaskan bahawa antara amalan kelestarian uatam termasuk mengintegrasikan ekonomi kitaran dalam operasi perniagaan.

Usaha ini turut menyokong visi mereka untuk mempertingkatkan gaya hidup komuniti melalui kesejahteraan tubuh, minda dan emosi.

"Sebagai contoh, mengumpul dan mengitar semula plastik Polyethylene daripada pembungkusan pallet bagi mengurangkan pelupusan sisa ke tapak pelupusan.

"Melalui penyertaan dalam SME ESG Challenge, rangka kerja lebih jelas, perspektif baharu dan keberanian menetapkan sasaran impak lebih berani, khususnya dalam aspek pengurangan pelepasan karbon dan ekonomi kitaran," katanya.

Ketiga-tiga syarikat menolak tanggapan bahawa ESG adalah kos tambahan, malah menegaskan bahawa kelestarian seharusnya mampu menampung kosnya sendiri.

Dengan pengiktirafan dan sokongan melalui SME ESG Challenge, PKS tempatan dilihat semakin berani memacu perubahan, membina perniagaan yang bukan sahaja menguntungkan, malah memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.

Sesi penyampaian hadiah oleh Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy, kepada tiga pemenang SME ESG Challenge telah diadakan pada UNGCMYB Members Celebration Night 2026 yang berlangsung pada 29 Januari 2026 di Kuala Lumpur. 

Must Watch Video