JASIN: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengutip kira-kira 90 tan metrik sampah sepanjang operasi Pembersihan Sampah Pukal sempena perayaan Aidilfitri dilaksanakan sejak 13 April hingga hari ini.

Pengarah SWCorp Melaka Khairuladha Mutalib berkata operasi bersama SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) itu menumpukan sebanyak 62 taman perumahan meliputi kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

"Program pembersihan ini juga ditumpukan di kawasan terutamanya mempunyai ramai penduduk beragama Islam yang akan meraikan Syawal supaya memastikan keadaan persekitaran di taman perumahan bersih dan selesa.

"Sepanjang tempoh itu juga kita telah mengeluarkan 40 notis pemberitahuan kepada pemilik kediaman yang dikenal pasti sering melonggokkan sisa buangan di kawasan yang tidak sepatutnya," katanya kepada pemberita ketika hadir pada operasi itu di Taman Maju Serkam di sini hari ini.

Khairuladha berkata seperti kebiasaannya ketika musim perayaan didapati ramai dalam kalangan penduduk menukar peralatan rumah dan perabot baharu namun mereka perlu memastikan perabot lama yang ingin dibuang perlu dilupuskan dengan kaedah betul iaitu mengeluarkan sehari atau pada hari kutipan.

Beliau berkata pada operasi itu fokus SWCorp juga ialah sesi libat urus bersama penduduk melibatkan 20,000 pemilik premis bagi memberi penerangan supaya sampah pukal yang dibuang mereka mengikut tatacara betul termasuk sisa kebun.

"Ramai dalam kalangan penduduk juga tidak mengetahui kaedah membuang sisa kebun yang dibiarkan berlonggok di bahu jalan, sepatutnya sisa kebun itu perlu dimasukkan ke dalam plastik dan diikat serta diletakkan bersebelahan tong sampah disediakan," katanya.

Katanya, pada musim perayaan yang bakal menjelang pihaknya juga menyarankan kepada orang awam agar penggunaan polisterin dikurangkan selain mengamalkan kitar semula bagi mengurangkan sampah di tapak pelupusan.

-- BERNAMA