Seorang pemandu lori maut selepas ditikam abangnya di kediamannya di Jalan Desa, Bandar Country Homes dekat sini jam 10 malam tadi.

Mangsa, yang dikenali sebagai Botak ditikam dengan pisau selepas dipercayai terlibat dalam satu pertengkaran dengan abangnya.

Kejadian itu dipercayai turut disaksikan oleh keluarga mangsa termasuk ibu mereka yang sedang uzur dan dua adik perempuan.

Pergaduhan dua beradik berkenaan sebelum itu disedari jiran tetangga.

Namun usaha mereka untuk meleraikan pertengkaran gagal kerana pagar rumah mangsa berkunci. Penduduk kemudian bertindak menghubungi polis.

Pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak yang tiba di tempat kejadian menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah.

Astro AWANI

Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia. Polis turut menemui pisau yang digunakan suspek.

Suspek, berusia sekitar 40 tahun bagaimanapun berjaya diberkas orang ramai dan diserahkan kepada pihak polis.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.