SEMUA negara yang terjejas akibat “tsunami” Coronavirus (COVID-19) mengamalkan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) yang bertujuan untuk memutuskan rangkaian jangkitan wabak berkenaan. BDR dikatakan suatu bentuk norma baharu yang wujud disebabkan COVID-19. Adakah benar BDR suatu amalan baharu ekonomi masa kini? Adakah BDR suatu bentuk amalan yang pratikal dan progresif kepada ekonomi?

BDR bukanlah fenomena baharu
BDR bukanlah fenomena baharu pada abad ke-21 kerana ia telah pun diamalkan secara meluas di negara-negara maju. Di Amerika Syarikat, lebih 50% daripada pekerja dalam perkhidmatan profesional dan perniagaan, perkhidmatan maklumat, dan aktiviti kewangan, adalah BDR (rujuk rajah di bawah). BDR juga dominan di negara-negara yang kurang maju seperti Afrika, di mana kebanyakan aktiviti ekonomi dilakukan di rumah dan dijalankan kebanyakannya oleh anggota keluarga. Semasa tempoh COVID-19, berlaku peningkatan ketara amalan BDR ini.



Sejarah juga telah membuktikan bahawa BDR telah diamalkan seawal revolusi industri pada akhir abad ke-19. Contohnya, sebahagian daripada jumlah bekalan produk Britain seperti paku dan rantai dihasilkan dari kediaman sekitar Birmingham. BDR ini adalah salah satu contoh fenomena kitaran ekonomi di mana amalan tradisional dipratikkan semula dalam konteks ekonomi moden.

Dari satu sudut, BDR dijangka dapat mengurangkan kos operasi kerana syarikat melakukan penyumberluaran ruang kerja mereka ke rumah. Dari sudut lain pula penyumberluaran ini akan memberi kos tambahan kepada pekerja dan turut mempengaruhi produktiviti mereka. Rumusan sejauhmana BDR memberi manfaat dan kos kepada ekonomi sukar dibuat kerana ketiadaan bukti empirikal dan kajian saintifik yang holisitik.

Pada pandangan penulis, dasar terhadap BDR harus dirancang dengan teliti kerana ia hanya berfungsi secara optimal untuk beberapa kumpulan pekerja dan hanya untuk beberapa sektor sahaja.

Faktor penentu BDR
Jika BDR ini ingin dijadikan amalan berterusan di dalam ekonomi, berikut dinyatakan secara ringkas antara faktor yang perlu diteliti bagi memastikan keberkesanan dan kejayaan dasar BDR.

Pertama, peranti dan akses internet adalah keperluan kepada BDR. Peranti dan akses internet adalah keperluan yang menghubungkan segmen BDR dan operasi perniagaan.  Tidak semua pekerja BDR dilengkapi dengan peranti dan mempunyai akses internet yang serupa seperti mana di pejabat. Ini belum lagi diambil kira faktor keluasan ruang rumah.

Kedua, BDR hanya terpakai kepada jenis pekerjaan tertentu sahaja. Adalah hampir mustahil bagi rata-rata pekerja yang beroperasi di barisan pembuatan, melayani pelanggan di kapal pesiaran, atau menuai tanaman di ladang komersial untuk tetap bekerja dengan baik dan bekerja secara produktif jauh dari lokasi pekerjaan utama mereka.

Ketiga, BDR “mesra” kepada pekerja berkolar putih. Amalan BDR lebih meluas dalam kumpulan berpendapatan tinggi, berpendidikan tinggi, pekerjaan bergaji dan mempunyai lindungan keselamatan sosial. Pekerja bergaji rendah, bekerja sendiri dan sektor tak formal didapati cenderung kepada amalan konvensional.

Keempat adalah faktor demografik buruh. Kemungkinan generasi milenial dan generasi muda di era moden menikmati dan memilih kemudahan BDR terutamanya yang bekerja di sektor tak formal. Pekerja generasi yang lebih tua berkemungkinan lebih menghargai fleksibiliti dan memilih BDR.

Kelima, hanya sektor tertentu sahaja sesuai BDR. Amalan negara maju menunjukkan BDR hanya sesuai dipratikkan di sektor perkhidmatan terpilih sahaja. Sektor-sektor seperti ICT, perkhidmatan profesional, sektor awam, dan kewangan lebih sesuai kepada amalan BDR. Sebaliknya, BDR tidak pratikal kepada pekerjaan di hotel dan restoran, pertanian, pembinaan, dan perdagangan.

Jika BDR ingin diamalkan secara berterusan, terdapat banyak lagi perkara yang perlu dilihat secara menyeluruh. Lindungan keselamatan sosial pekerja BDR, aspek percukaian dan undang-undang berkaitan buruh dan kediaman, dan sistem sokongan adalah antara contoh-contoh perkara yang perlu diberi perhatian.


Penulis merupakan Ketua Ekonomi, Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI