MENTERI Muda Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr Jerip Susil memaklumkan beliau kini sembuh daripada COVID-19 selepas dua ujian saringan terakhirnya didapati negatif.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong itu sebelum ini disahkan positif dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 2 April 2020.

"Ya, saya mahu memaklumkan dua ujian saringan ke atas saya negatif. Bermakna saya telah bebas daripada jangkitan COVID-19.

"Bagaimanapun saya masih dalam tempoh kuarantin (di rumah) sehingga 21 April," katanya seperti dilaporkan Utusan Borneo.

Beliau pada masa sama menyatakan penghargaan kepada semua pihak terutama penduduk di kawasannya yang sentiasa memberi sokongan dan mendoakan beliau sembuh.

Dr Jerip turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa mementingkan aspek kebersihan diri selain mengamalkan penjarakan sosial seperti disarankan kerajaan.

"Tinggal di rumah, kekalkan penjarakan sosial dan sentiasa menjaga kebersihan diri. Dengan cara ini kita dapat memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.

"Bersama-sama kita membantu mengekang penularan COVID-19 khasnya di Sarawak," ujarnya.

Sebelum ini Dr Jerip memberitahu beliau dijangkiti virus itu daripada pekerjanya yang positif COVID-19 dan termasuk dalam kluster Persidangan Gereja Good News Fellowship.