Afghanistan kini fokus geoekonomi, Malaysia wajar ambil peluang - Maszlee

Pengerusi IAIS, Dr Maszlee Malik berkata, walaupun kebanyakan negara Barat tidak menguar-uarkan hubungan diplomatik rasmi dengan Afghanistan, interaksi ekonomi dan komersial antara mereka kekal aktif. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mengambil peluang memperkukuh hubungan dagang dengan Afghanistan yang kini memberi tumpuan kepada aspek geoekonomi berbanding geopolitik sebelum ini.
Ringkasan AI
- Afghanistan fokus pada geoekonomi berbanding geopolitik, Malaysia perlu mengambil peluang memperkukuh hubungan dagang dengan negara tersebut.
- Interaksi ekonomi dan komersial antara Afghanistan dan negara Barat masih aktif walaupun hubungan diplomatik rasmi tidak diuar-uarkan.
- Malaysia perlu langkah proaktif kerana negara ini melahirkan ramai cendekiawan dan graduan Afghanistan, kerjasama perdagangan kedua-dua negara berpotensi untuk ditingkatkan.
"Hubungan Afghanistan dengan negara luar, khususnya negara Barat, juga semakin aktif dan mengejutkan. Walaupun dari segi politik kebanyakan negara Barat tidak menguar-uarkan hubungan diplomatik rasmi dengan Afghanistan, interaksi ekonomi dan kegiatan komersial tetap rancak. Malah, banyak syarikat Barat, terutamanya dari Eropah, beroperasi di negara itu.
"Kerajaan Afghanistan yang baharu memberi tumpuan kepada geoekonomi berbanding geopolitik. Justeru, Malaysia perlu mengambil peluang ini kerana hubungan dagang antara kedua-dua negara juga agak besar dan berpotensi untuk diperkukuh," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Dialog Strategik dan Libat Urus Awam mengenai Hubungan Afghanistan-Malaysia (Strategic Dialogue and Public Engagement on Afghanistan-Malaysia Relations) di Kuala Lumpur pada Khamis.
Tambah beliau, Malaysia sememangnya perlu mengambil langkah proaktif kerana negara ini melahirkan ramai cendekiawan dan graduan Afghanistan melalui universiti tempatan.
"Kita perlu bergerak dengan lebih agresif dalam era yang semakin terbuka, khususnya ketika dunia didominasi oleh generasi Gen Y dan Gen Z," katanya.
Menurut beliau lagi, perbincangan hari ini turut menekankan pendekatan melangkaui politik dan ekonomi, termasuk diplomasi serta hubungan rakyat dengan rakyat.
“IAIS menawarkan kepakaran dalam bidang latihan, penyelidikan dan penghubung dengan institusi pendidikan di Malaysia bagi menyokong pembangunan Afghanistan,” katanya.
Tambah Maszlee, Malaysia wajar memperluas kerjasama kerana angka perdagangan semasa antara kedua-dua negara adalah memberangsangkan dan berpotensi untuk ditingkatkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


