MELAKA: Agensi Nuklear Malaysia akan mempergiat promosi bagi memperluas penggunaan anak benih padi mutan NMR152 kepada pesawah terutamanya di kawasan luar jelapang dalam usaha membantu mempertingkatkan hasil keluaran tanaman.

Pengarah Bahagian Agroteknologi dan BioSains Agensi Nuklear Malaysia Dr Azhar Mohamad berkata benih padi varieti itu menunjukkan hasil tinggi dan stabil di pelbagai persekitaran dan sesuai ditanam di siri tanah berbeza terutamanya di kawasan tanah bermasalah.

"Kebiasaannya tanah bermasalah ini hanya mampu mengeluarkan hasil kurang daripada satu tan metrik tetapi dengan penggunaan benih padi NMR152 ini, tanaman mampu mengeluarkan hasil berganda antara 40 hingga 60 peratus dengan mengikut tatacara penanaman betul.

"Bagi hasil padi di kawasan jelapang pula, benih varieti berkualiti tinggi menggunakan teknologi nuklear kaedah biakbaka aruhan sinaran gama itu, ia mampu mengeluarkan hasil sembilan hingga 11 tan metrik berbanding hanya lima hingga tujuh tan metrik," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Terdahulu, beliau hadir pada Program Promosi Bersasar Siri 3 yang disempurnakan oleh Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan dan turut dihadiri Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia Dr Rosli Darmawan serta Pengarah Bahagian Pengkomersilan Teknologi Agensi Nuklear Malaysia Dr Rasif Mohd Zain.

Mengulas lanjut Azhar berkata Agensi Nuklear Malaysia juga sedang dalam perbincangan membawa anak benih padi NMR152 ke Sabah untuk ditanam selain menjalankan kajian bagi membuat penilaian tahap kesesuaian dan jika berjaya pihaknya akan mengembangkan penggunaan varieti tersebut di negeri itu.

Katanya padi tersebut mempunyai ciri-ciri berkualiti tinggi iaitu tahan pada perubahan cuaca tidak menentu seperti kemarau dan banjir iaitu mampu bertahan sekiranya terendam dalam air kira-kira 20 hari selain rintang terhadap penyakit karah.

Sementara itu Fairul Nizam berkata sektor pertanian juga memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi Melaka dan pihaknya menyambut baik sokongan pihak kerajaan dan swasta yang menerokai peluang memodenisasikan sektor pertanian sebagai usaha untuk membangunkan sektor itu secara lestari.

Katanya pihaknya akan mengadakan perbicangan bersama Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr Muhamad Akmal Saleh bagi memanfaatkan teknologi nuklear itu dengan memperluas penggunaan anak benih padi NMR152 sekali gus dapat mempertingkat hasil keluaran padi di Melaka.

"Perkembangan ini memberi manfaat bagi jangka masa panjang khusus dalam aspek kawalan harga bekalan makanan yang memberikan manfaat besar kepada rakyat.

"Saya berharap dalam masa beberapa tahun akan datang, Melaka dapat menjadi negeri yang kompeten dalam pembangunan sektor pertanian dan komoditi pertanian boleh mencapai 100 peratus tahap sara diri melalui pendekatan dan polisi agromakanan yang bersifat 'market-driven'," katanya.

-- BERNAMA