PEKAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan merasmikan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan di Kumpulan Pengguna Air (KPA) Permatang Durian, Skim Merchong di sini.

Turut berangkat ke majlis yang diadakan di Masjid Kampung Merchong, di sini ialah Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan paduka adinda Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah serta Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Hadir sama Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengetuai barisan kepimpinan kerajaan negeri.

Pada majlis itu, Seri Paduka turut berkenan meluangkan masa melawat pameran selain melihat gimik penanaman Ala Sekinchan serta mengemudi jentera menanam padi.

SMART SBB Ala Sekinchan merupakan model baharu menerapkan amalan pertanian berhasil tinggi dengan mempraktikkan Pengetahuan, Sikap dan Amalan yang dilancarkan pada Mei 2023.

Yang di=Pertuan Agong berkenan mencemar duli mengendali jentera mesin menanam padi selepas merasmikan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan di Kumpulan Pengguna Air Permatang Durian, Skim Merchong, hari ini. - Foto Bernama


Program itu antara lain bermatlamat meningkatkan pendapatan pesawah melalui peningkatan produktiviti dengan mengaplikasikan amalan penanaman padi terbaik di kawasan Sekinchan, Selangor selain mengeluarkan padi lebih bersasar menerusi pembangunan kawasan secara berkelompok.

Di Pahang, model baharu itu dikawal selia oleh Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Pekan bersama sebuah syarikat peneraju di Skim Merchong mempunyai keluasan keseluruhan sekitar 4,134 hektar dengan seramai 1,716 pesawah.

Terdapat 10 KPA di bawah Skim Merchong, dan projek ini akan memberi fokus utama kepada KPA Permatang Durian, dengan fasa pertama pelaksanaan projek ini akan melibatkan seramai 84 peserta dengan kawasan usaha seluas 168 hektar.

-- BERNAMA