JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan berangkat menziarahi Makam Diraja Bukit Mahmoodiah di sini bersempena Hari Hol Almarhum Sultan Iskandar.
Berangkat sama Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail diiringi Raja Muda Johor Tunku Iskandar Tunku Ismail, menurut satu hantaran berserta foto istiadat berkenaan dalam Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menurut hantaran itu, Sultan Ibrahim kemudian berkenan menyiram air mawar dan menabur bunga pada makam ayahanda, Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Ismail dan bonda Almarhumah Enche’ Besar Hajah Khalsom Binti Abdullah.
Seri Paduka Baginda turut berkenan menziarahi makam anakanda, Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil Ibni Sultan Ibrahim.
Istiadat Hari Hol Almarhum Sultan Iskandar diadakan setiap tahun mengikut kalendar Hijrah, iaitu pada 6 Safar dan merupakan hari istimewa seluruh rakyat Johor bagi memperingati serta menzahirkan penghormatan kepada Almarhum Sultan-Sultan yang telah mangkat.
Selain itu, ia diadakan untuk berdoa ke hadrat Allah dan memohon limpah keampunan-Nya kepada roh mereka yang telah kembali ke rahmatullah serta dihimpunkan mereka dalam kalangan orang beriman.
-- BERNAMA