KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan rasa dukacita dengan perkhabaran mengejut mengenai mantan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe, susulan insiden tembakan di Nara, Jepun, awal hari ini.

Menerusi catatan terbaharu di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa simpati kepada seluruh keluarga beliau, dan juga rakyat Jepun, dan harapan keluarga beliau sabar serta tabah menghadapi dugaan yang telah menimpa.

Istana Negara berkata, Seri Paduka Baginda turut mendoakan semoga Shinzo Abe berada dalam keadaan baik dan pulih seperti sedia kala.


“Mengimbas kembali pertemuan Seri Paduka Baginda dengan Shinzo Abe, Baginda telah berkenan menerima menghadap beliau, yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, di Istana Negara pada 11 Mac 2022 lalu.

“Shinzo Abe pada ketika itu dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia sempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur dan 65 tahun penubuhan hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun,” menurut catatan berkenaan lagi.

Istana Negara berkata, sewaktu pertemuan tersebut, Seri Paduka Baginda turut telah berkenan menganugerahkan ljazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Politik Ekonomi kepada Abe sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Sesi menghadap tersebut merupakan pertemuan kedua Seri Paduka Baginda dengan beliau, selepas yang pertama ketika Baginda menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun ke-126 Maharaja Naruhito di Istana Imperial, Tokyo, Jepun pada 23 Oktober 2019.

BACA: Bekas PM Jepun Shinzo Abe ditembak 

BACA: Suspek akui tidak berpuas hati dengan Shinzo Abe 


Awal hari ini media melaporkan Abe telah terkena tembakan ketika sedang berucap pada satu majlis di bandar Nara, barat Jepun, pada Jumaat.

Menurut laporan beberapa agensi berita antarabangsa, Abe, 67, rebah dalam keadaan berdarah dan dikejarkan ke hospital berdekatan.

Media melaporkan, kedengaran bunyi seperti tembakan ketika kejadian dan seorang suspek lelaki telah ditahan di lokasi sama.