Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Haminah Hamidun hari ini menziarahi bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak yang kini dirawat di Unit Rawatan Kardiologi (CCU) Hospital Pulau Pinang (HPP).

Baginda berdua diiringi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Annuar Badlishah, anakanda baginda Datuk Seri Diraja Tunku Puteri Intan Shafinaz, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Menteri Besar Perlis Azlan Man.

Seri Paduka berdua tiba di HPP pada kira-kira 4.50 petang dan meluangkan masa kira-kira 10 minit menziarahi Azizan dalam wad CCU itu.

Azizan, 73, yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah, dimasukkan ke HPP selepas dikatakan mendapat jangitan kuman di kaki dan menerima rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) sejak Isnin lepas.

Sementara itu, Mukhriz ketika ditemui pemberita berkata, keadaan Azizan setakat ini dilaporkan stabil dan sentiasa dipantau pihak hospital.

Sementara itu, tekanan darah bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dikatakan telah kembali normal dan sudah boleh menggerakkan anggota badannya.

Bekas Setiausaha Akhbar beliau, Mohed Helmi Khalid mengesahkan perkara berkenaan menerusi sistem pesanan ringkas kepada Astro Awani.

Helmi juga menafikan khabar angin yang mengatakan Azizan sudah meninggal dunia.

Azizan, 73, dikatakan dibawa ke Hospital Pulau Pinang dari Kedah Medical Centre (KMC) malam Selasa. Beliau yang menerima rawatan di KMC sejak pagi Isnin lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Azizan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau dengan mengalahkan sepupunya Fazillah Mohd Ali yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan dua calon bebas dengan majoriti 2,774 undi.

Bagaimanapun, PAS dan Pakatan Rakyat gagal mempertahankan pentadbiran kerajaan negeri Kedah apabila BN memenangi 21 dari 36 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.