SEPANG: Jemaah haji dan seluruh rakyat Malaysia diseru agar mengambil pengajaran daripada kesatuan serta perpaduan umat Islam ketika mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, perhimpunan haji yang merupakan satu manifestasi syiar perpaduan ummah yang maha agong, boleh dijadikan tauladan dan pengajaran di Malaysia.

"Lantaran itu, saya menyeru kepada para bakal haji dan seluruh rakyat Malaysia untuk mengambil pengajaran dari kesatuan dan perpaduan ummah dalam perhimpunan terbesar manusia di dunia ini, untuk sama-sama kita jadikan tauladan serta pedoman dalam membentuk semangat perpaduan dan ikatan ukhuwah di negara Malaysia yang kita cintai ini," titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat ke majlis mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji ke tanah suci di Movenpick Hotel and Convention Centre KLIA di Sepang pada Selasa.

Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Titah Al-Sultan Abdullah lagi, jemaah haji musim ini perlu terus mengekalkan nama baik negara dan sentiasa menjaga diri ketika melaksanakan ibadat berkenaan.

"Menjadi tetamu Allah SWT dalam sebuah perhimpunan terbesar umat Islam ini, mengajar kita untuk bersabar, bersifat toleransi dan juga saling hormat menghormati sesama tetamu Allah yang lain.

"Kepada para bakal haji sekalian, saya berharap agar tuan-tuan dan puan-puan akan sentiasa menjaga diri dan nama baik negara.

"Semasa di tanah suci kelak, ikuti segala nasihat dan panduan kesihatan serta amalan pemakanan yang disarankan oleh Tabung Haji. Ambillah kesempatan menjadi tetamu Allah ini untuk beribadat dan beramal dengan sesungguh hati," titah baginda lagi.