Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dua jam menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara hari ini.
Jelas Ketua Pembangkang itu, kesemua wakil politik yang hadir diminta memberikan pandangan masing-masing dalam mencari titik penyelesaian kepada kemelut politik ketika ini.
“Tetapi semuanya nampak ada satu persefahaman konsensus untuk menghentikan politik lama yang melelahkan dan membosankan dengan cara pelanggaran dan hukum, dan kita harus menjurus semula ke arah membangunkan (negara),” katanya kepada media di pekarangan Pintu 2 Istana Negara, hari ini.
BACA: [LAPOR LANGSUNG] Pembentukan kerajaan baharu, siapa PM ke-9?
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, Yang di-Pertuan Agong, turut menitahkan agar semua parti menekankan semangat kefahaman dan muafakat baharu.
Selain itu, Anwar berkata Agong turut bertitah agar bekerjasama untuk menangani masalah COVID-19 dan memulihkan semula ekonomi negara.
“Jadi isu bukan sahaja mengenai pelantikan seorang perdana menteri baharu, yang turut ditekan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, selaku timbalan Yang di-Pertuan Agong adalah untuk mengagaskan satu bentuk politik baharu yang aman dan damai untuk rakyat.
“Yang di-Pertuan Agong turut memberitahu mengenai lunas-lunas Perlembagaan, cari calon Perdana Menteri yang dapat majoriti sokongan Ahli Parlimen, tetapi politik perlu berubah.
"Maknanya yang menang jangan jadi seperti pernah berlaku memakan yang kalah," katanya lagi.
Bagaimanapun, Anwar dalam sidang media tersebut tidak memperincikan nama Perdana Menteri baharu yang disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Terdahulu, semua pemimpin parti politik selesai menghadap, Al-Sultan Abdullah selepas pemimpin terbabit dilihat meninggalkan perkarangan Istana Negara pada jam 4 petang.
BACA: Sesi menghadap: Agong jumpa serentak semua pemimpin politik
Semalam, Al-Sultan Abdullah memperkenan peletakan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri serta seluruh barisan Ahli Jemaah Menteri berkuat kuasa serta merta.
Dalam pada itu, Baginda turut perkenan untuk melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri sementara (caretaker) sebelum calon Perdana Menteri Baharu dilantik semula.