Pelantikan Jawatankuasa Pemilih Parlimen, pengerusi dan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang baharu akan dibuat pada sidang Parlimen pada 19 Oktober nanti.

Tarikh tersebut merupakan hari pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Majlis Parlimen Ketiga Belas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tarikh itu ditetapkan setelah mengambil kira beberapa faktor utama, termasuk masa yang diperlukan untuk mencadangkan nama-nama baharu bagi mengantikan ahli Jawatankuasa Pemilih Parlimen sedia ada.

"Kerajaan tidak boleh tergesa-gesa dalam soal pelantikan ahli Jawatankuasa Pemilih yang merupakan jawatankuasa paling penting sebelum mana-mana jawatankuasa lain dapat dilantik termasuk PAC," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas Azalina, ahli Jawatankuasa Pemilih akan terdiri daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang. Sehubungan dengan itu, parti-parti akan mencadangkan beberapa nama baharu termasuk BN yang akan mencadangkan nama Ketua Whip baharu – jawatan yang sebelum ini disandang bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Bagi pihak Pembangkang juga, ada kebarangkalian nama baharu akan dicadangkan daripada parti PAS berikutan pecahan mereka daripada perikatan bersama DAP dan PKR. Selain daripada itu, Ketua Pembangkang juga akan digantikan dengan Ahli Parlimen Permatang Pauh yang baharu iaitu YB Datin Seri Wan Azizah," katanya.

Azalina berkata, pelantikan pengerusi dan ahli jawatankuasa PAC akan berlaku sebaik sahaja pertukaran ahli-ahli Jawatankuasa Pemilih selesai dilakukan sebelum PAC dapat meneruskan semua tugas-tugas yang diamanahkan.

Ini termasuk prosiding siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Saya menegaskan bahawa kerajaan sama sekali tidak menangguhkan prosiding siasatan terhadap 1MDB oleh PAC dengan sengaja.

"Prosiding tersebut dapat diteruskan selepas pelantikan Pengerusi dan AhliJawatankuasa PAC yang baru pada 19 Oktober nanti," katanya.

Ujarnya lagi, PAC diharapkan dapat memulakan kembali siasatan terhadap 1MDB selepas laporan penuh Ketua Audit Negara mengenai syarikat pelaburan negara itu disiapkan untuk diteliti oleh PAC.

Ahli Jawatankuasa Pemilih Parlimen Ketiga Belas sebelum ini, yang diketuai oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, bertanggungjawab melantik Ahli Jawatankuasa PAC.

Jawatankuasa Pemilih tersebut sebelum ini mempunyai enam ahli – Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh; Ahli Parlimen Cameron Highlands dan bekas presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel; bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ahli Parlimen Gelang Patah dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Bentong dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai; dan Ahli Parlimen Selangau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Joseph Entulu Belaun.